Perak FC intai khidmat 'Pak Arab'

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

PASUKAN Perak FC akan mengambil dua lagi pemain import bagi memperkuatkan jentera serangan mereka dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, salah seorang pemain tersebut telah dikenal pasti dan merupakan pemain dari Timur Tengah.

Menurutnya, secara keseluruhan, pembentukan pasukan Perak FC sudah hampir lengkap sepenuhnya dan persediaan serta persiapan bagi mengharungi saingan Liga Super 2021 juga berjalan lancar.

"Perak FC mengekalkan sebilangan besar pemain dari musim 2020 dan turut membawa naik beberapa pemain muda berpotensi dari skuad Piala Presiden serta diperkuatkan lagi dengan kehadiran beberapa pemain baharu.

"Saya percaya dan yakin melalui gandingan pemain lama dan baharu, serta kualiti, pengalaman dan komitmen yang ada pada setiap pemain, skuad Perak FC 2021 akan menjadi pesaing utama dalam memburu kejuaraan di saingan Liga Malaysia nanti," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar sempena Makan Malam Bagi Meraikan Pegawai dan Pemain Kelab Bola Sepak Perak FC 2021 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, di sini pada Sabtu.

Pada sidang akhbar sama, Ahmad Faizal mengumumkan tiga pemain baharu Perak FC iaitu pemain tengah dari Singapura, Muhammad Shakir Hamzah, 28; bekas Penjaga Gol Kedah, Muhammad Azri Ab Ghani, 21 dan pemain bek kanan yang mewakili UiTM FC musim lalu iaitu Muhammad Danish Haziq Saipul Hisham, 23.

Selain itu juga, beliau turut memaklumkan tujuh pemain Perak FC yang tidak lagi bersama pasukan itu iaitu Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, Mohamad Hafiz Ramdan, Anthony Paul Golec, Chanthacheary Bin, Khairul Amri Salehuddin dan Shathiya Kandasamy.

Sementara itu, Perak FC mengekalkan Mehmed Durakovic sebagai Ketua Jurulatih bagi musim 2021.

Artikel Berkaitan:

Bagi pasukan Perak FC II pula, Ahmad Faizal menjelaskan struktur pembentukan pasukan dinilai semula untuk menjadikan pasukan itu dijadikan platform utama buat pemain-pemain muda berpotensi mendapatkan pengalaman serta pendedahan sebagai persediaan sebelum diserap di dalam pasukan Liga Super.

"Setakat ini, seramai 11 orang pemain yang mewakili pasukan Piala Presiden iaitu bawah 21 tahun musim lalu telah dikenalpasti berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad Perak FC II manakala baki pemain akan ditentukan oleh ketua jurulatih.

"Perak FC II menyasarkan hanya menggunakan dua pemain asing bagi musim 2021 untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada kepada pemain tempatan beraksi," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bekas pemain Perak, Syamsul Mohd Saad dipilih sebagai Ketua Jurulatih Perak FC II bagi musim 2021 menggantikan Abu Bakar Fadzim.