Op Ambang Tahun Baharu: JPJ keluar 287 notis kompaun

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan sebanyak 287 notis kompaun atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan ke atas 1,403 kenderaan pada Op Khas Ambang Tahun Baharu malam Khamis.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, operasi tersebut dilaksanakan serentak di beberapa lokasi di seluruh negeri antaranya di Jambatan Sultan Mahmud di sini; Jalan Kuantan-Kemaman, Kemaman; Jalan Yahya Ahmad, Dungun dan Jalan Bukit Yong, Besut.

Menurutnya, operasi itu melibatkan 122 pegawai dan anggota serta turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Hasil pemeriksaan dijalankan, sebanyak 287 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebanyak 303 pelbagai notis (Notis Arah periksa Seksyen 61 dan Notis Seksyen 64).

"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu atau tamat tempoh (51), lesen kenderaan motor (34), lesen vokasional (dua), insurans tamat tempoh (28), cermin gelap (58), penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan (73), penggunaan lampu HID (lima), kesalahan teknikal (23) dan lain-lain kesalahan (13)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu, pihaknya turut menyita tiga buah kenderaan termasuk dua kereta dan sebuah motosikal sebelum dibawa ke pejabat JPJ negeri untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, katanya, aktiviti penguatkuasaan JPJ Terengganu akan diteruskan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan lalu lintas serta keselamatan pengguna jalan raya sentiasa dalam pemantauan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan: