Tahanan Palestin meninggal dunia dalam penjara Israel

Ibu Fares Baroud memegang potret lelaki terbabit di rumahnya di kem pelarian Al-Shanti
Ibu Fares Baroud memegang potret lelaki terbabit di rumahnya di kem pelarian Al-Shanti
A
A
A

RAMALLAH - TEBING BARAT. Seorang tahanan Palestin meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan disebabkan 'kecuaian perubatan yang disengajakan' sepanjang menjadi 'tebusan' di penjara Israel.

Fares Baroud dari kem pelarian Al-Shanti di bahagian utara Genting Gaza meninggal dunia petang semalam, hanya beberapa jam selepas dipindahkan secara tergesa-gesa ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dari penjara Ramon di wilayah yang diduduki.

Baroud, 51, dilaporkan menghidap beberapa penyakit termasuk hernia dan hati, pernah berulang kali menyatakan bahawa beliau diabaikan pegawai penjara dan dinafikan untuk mendapat rawatan sewajarnya.

Lelaki itu sebelum ini kehilangan penglihatan sebanyak 80 peratus dan pegawai penjara Israel telah menangguhkan rawatan yang sepatutnya diberikan kepada Baroud selama empat bulan berturut-turut.

Pihak berkuasa Israel juga menafikan akses lawatan bagi ahli keluarganya ke penjara selama 18 tahun.

Baroud ditahan pada 1991 dan sepatutnya dibebaskan pada 2013 sebagai sebahagian daripada rundingan antara Pihak Berkuasa Palestin dan rejim Tel Aviv.

Namun, pegawai Israel tidak bersetuju dengan perjanjian itu dan enggan membebaskan seramai 30 banduan palestin termasuk Baroud.

Pengarah Pejabat Media Tahanan Palestin, Nahed Al-Fakhouri menyifatkan kematian Baroud di tangan pegawai penjara Israel sebagai tindakan tidak berhati perut dan ia mencerminkan dasar jenayah dilakukan Perkhidmatan Penjara Israel terhadap tahanan Palestin.

Artikel Berkaitan:

Seramai 7,000 rakyat Palestin kini ditahan di 17 penjara Israel.

Daripada jumlah tersebut, lebih 400 orang ditahan tanpa perbicaraan atau tahanan pentadbiran. - Agensi