'Saya tak akan percaya lagi apa diperkatakan Anwar'

Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Perjuangan 2021 di sebuah hotel di Shah Alam pada Khamis.
Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Perjuangan 2021 di sebuah hotel di Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis menyatakan beliau tidak akan percaya lagi dengan apa yang diperkatakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung beliau mempunyai jumlah majoriti.

Menurutnya, ia dapat dilihat dengan janji dibuat oleh Anwar bahawa beliau akan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sekiranya tidak mempunyai majoriti.

“Kita hitung tengok, Anwar pernah janji dan tunaikan janji ke? Berapa kali dia (kata) dah nak bentuk kerajaan.

“Bila Tun Abdullah Ahmad Badawi menang sikit (pilihan raya umum) tahun 2008, semua dah pakai tali leher nak pergi angkat sumpah tapi tak jadi.

“Berkali kata ada majoriti tapi tak jadi. Kalau nak percaya lagi dengan apa dia kata itu masalah anda. Tapi saya tak akan percaya lagi dengan apa yang diperkatakannya,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Perjuangan 2021 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Anwar sebelum ini bahawa beliau akan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang sekiranya tidak mempunyai majoriti di Parlimen.

Dr Mahathir dalam masa sama turut mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa beliau sudi bekerjasama dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

“Saya sanggup untuk lupakan saya punya pendirian untuk bekerjasama dengannya tapi dia tak nak bekerjasama dengan saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai syarat diberikan oleh Anwar padanya iaitu perlu mematuhi prinsip perjuangan PH jika ingin menyertai gabungan itu, Dr Mahathir berkata, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak akan mempunyai sokongan yang cukup jika tidak memperoleh sokongan daripada mereka.

“Dia tak boleh jadi perdana menteri kalau tak ada sokongan yang cukup. Kalau tak ada kami, dia tak dapat sokongan yang cukup.

“Dah berapa kali dia cakap mempunyai majoriti yang kuat. Pergi baliklah,” katanya.

Pada Selasa lalu, Anwar berkata, mana-mana pihak termasuk Dr Mahathir wajib mematuhi prinsip perjuangan dikemukakan PH sekiranya ingin menyertai gabungan itu membentuk gabungan besar parti pembangkang.

Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada gabungan itu untuk mengundang sesiapa sahaja bagi menjayakan usaha pembentukan gabungan besar parti pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).