PBAPP terus ingatkan kerajaan Kedah kepentingan Ulu Muda

Jaseni Maidinsa
Jaseni Maidinsa
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) terus mengingatkan kerajaan Kedah mengenai kawasan tadahan Ulu Muda yang sangat penting untuk dipelihara demi keselamatan air terutama pada musim kering setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, sekiranya 25,000 hektar hutan hujan di Ulu Muda ditebang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan kehilangan sekitar 15.3 peratus hutan hujan.

Menurutnya, Kompleks Hutan Ulu Muda (Ulu Muda) meliputi kawasan seluas 163,000 hektar dan kawasan tadahan air untuk Empangan Muda mengalir ke Sungai Muda di selatan dan Empangan Pedu dan Ahning yang mengalir ke Sungai Kedah di utara.

"Ketika ini, kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah berasal dari hutan hujan Ulu Muda.

"Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) pula mengabstrak lebih 80 peratus air mentah yang diperlukan Pulau Pinang setiap hari dari Sungai Muda," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN:MNS perjelas tinjauan Sanusi di Hutan Simpan Ulu Muda

Tiada aktiviti pembalakan di hutan perlindungan, hutan simpan

Pembalakan Ulu Muda terkawal tanpa jejas kawasan tadahan air

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, tanah seluas 25,000 hektar hutan hujan di Ulu Muda mungkin ditebang, selaras dengan keizinan pembalakan.

Jaseni berkata, kawasan seluas 25,000 hektar itu mewakili kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah kawasan tanah Ulu Muda 163,000 hektar dan bersamaan 250km persegi.

Katanya, sebagai perbandingan, kawasan tanah besar bahagian pulau di Pulau Pinang adalah 293 km persegi dan kehilangan kawasan hutan hujan itu hampir sama saiz Pulau Pinang yang pasti akan mengurangkan peranan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air.

"Oleh kerana Ulu Muda adalah kawasan tadahan air untuk Sungai Muda dan Empangan Muda, penebangan 25,000 hektar hutan hujan boleh menyebabkan Sungai Muda dan Empangan Muda kering pada musim kemarau berpanjangan.

"Sekiranya air dari Ulu Muda tidak mencukupi, akan berlaku krisis air wilayah yang mempengaruhi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sekaligus menyebabkan 4.2 juta penduduk menderita," katanya.

Beliau berkata, disebabkan aktiviti pengairan akan terjejas, Kedah mungkin tidak lagi berfungsi sebagai Jelapang Padi Malaysia.

Katanya, mimpi ngeri ini mungkin hasil cadangan Menteri Besar Kedah untuk mengeksploitasi dan memusnahkan Ulu Muda sepenuhnya untuk keuntungan jangka pendek.

"Nampaknya rancangan permainan beliau adalah untuk membalak hutan hujan untuk membersihkan tanah bagi perlombongan mineral berikutnya, termasuk unsur nadir bumi (REE).

"Hanya kerajaan Persekutuan yang dapat menghalang beliau daripada mewujudkan bencana alam sekitar dan sosioekonomi yang berkadar epik di NCER.

Mengulas lanjut Jaseni berkata, kerajaan Kedah perlu hentikan pembalakan di Ulu Muda sepenuhnya dan selama-lamanya.

Jelasnya, hutan hujan di Ulu Muda sebenarnya membantu mewujudkan hujan dan melalui transpirasi, pembebasan air dari berjuta-juta tumbuhan di Ulu Muda meningkatkan jumlah wap air di udara.

Tambahnya, fenomena semulajadi ini adalah sebahagian daripada kitaran hidrologi, dan ia menjelaskan mengapa udara adalah lembap di Ulu Muda.

"Itulah sebabnya mengapa begitu banyak hujan di Ulu Muda, menjadikannya kawasan tadahan air yang ideal.

"Dengan demikian, penebangan hutan hujan yang besar akan mengakibatkan hujan yang agak sedikit di Ulu Muda, dan seterusnya kurangnya ketersediaan air mentah untuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya.