Sindiket Macau Scam direkrut di Kemboja tumpas

Zainuddin (kiri) menunjukkan telefon bimbit yang dirampas daripada sindiket Macau Scam di Ipoh.
Zainuddin (kiri) menunjukkan telefon bimbit yang dirampas daripada sindiket Macau Scam di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Sindiket Macau Scam di sini tumpas selepas polis menahan 22 individu termasuk tiga wanita dalam serbuan di sebuah premis pada Selasa.

Polis turut merampas dua buah kereta, 12 pasport dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk tiga komputer riba, 47 telefon bimbit dan 37 set skrip.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, polis menerima 29 laporan kes membabitkan kerugian berjumlah RM360,000.

Menurutnya, siasatan mendapati ahli sindiket berusia 20 sehingga 46 tahun itu merupakan warga tempatan yang dilatih di Kemboja untuk memperdaya mangsa di negara ini.

Polis merampas 37 set skrip yang digunakan untuk memperdaya mangsa.
Polis merampas 37 set skrip yang digunakan untuk memperdaya mangsa.

“Sindiket ini aktif sejak April 2018 dan beberapa individu telah menjalani latihan selama seminggu di Laos, Kemboja dan bekerja di negara itu sebelum pulang kerana pandemik Covid-19, Mei lalu.

“Pada akhir September lalu, kumpulan ini mula aktif bekerja dengan menerima upah antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan di rumah transit di Menglembu, Ipoh sebelum berpindah ke pusat panggilan penipuan di Taiping.

"Mereka kemudiannya kembali ke Ipoh sebelum ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Zainuddin berkata, sindiket itu juga menggunakan aplikasi terkini sebagai medium komunikasi bersama mangsa dan menggunakan ‘dark web’ atau laman web palsu bagi mendapatkan maklumat mangsa.

“Antara laman web yang digunakan ialah MYEG Services Berhad (MYEG), portal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci sebelum menghubungi mangsa.

“Mereka akan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan Telekom Malaysia, pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPK Terengganu dan menggertak yang akhirnya mangsa akan menjadi takut jika ditangkap dan dirampas harta serta dituduh di mahkamah,” katanya.

Zainuddin bersama Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menunjukkan sebahagian ahli sindiket macau scam yang berjaya ditahan.
Zainuddin bersama Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menunjukkan sebahagian ahli sindiket macau scam yang berjaya ditahan.

Katanya, kesemua mereka direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Tambah Zainuddin, sepanjang tahun ini, sebanyak 2,226 kes diterima membabitkan RM172 juta di seluruh negara berbanding tahun lalu iaitu 2,466 kes dengan kerugian berjumlah RM121 juta,” katanya.