PTPTN bantu 410 pelajar B40

Wan Saiful (dua dari kiri) menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar berupa baucar dan pembukaan akaun SSPN-i di Catteleya, Senawang pada Rabu.
Wan Saiful (dua dari kiri) menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar berupa baucar dan pembukaan akaun SSPN-i di Catteleya, Senawang pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 410 pelajar dari keluarga B40 di seluruh Negeri Sembilan menerima bantuan persekolahan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM41,000 pada Rabu.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, setiap pelajar akan menerima bantuan bernilai RM100 iaitu RM80 dalam bentuk baucar Mydin untuk kelengkapan persekolahan, manakala RM20 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Menurutnya, program seumpama itu diharap dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menguruskan persediaan untuk anak-anak melangkah ke sesi persekolahan tahun 2021.

“Bantuan persekolahan sebegini merupakan antara program yang sering dilaksanakan oleh PTPTN pada setiap tahun di mana tahun ini PTPTN memilih untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pada Program Bantuan Persekolahan di Catteleya, Senawang di sini pada Rabu.

Hadir sama, Yang Dipertua PERDASAMA, Datuk Mohd Hanafi Mohd Zain.

Wan Saiful berkata, sejak tahun 2004, PTPTN telah mengorak langkah untuk menggalakkan ibu bapa membuat perancangan kewangan untuk pendidikan anak-anak dengan memperkenalkan SSPN.

“Tanpa perancangan kewangan yang baik adalah sukar untuk anak-anak kita meneruskan pengajian dan cita-cita mereka.

“Oleh itu, PTPTN menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk pendidikan anak-anak seawal usia sehari, lebih-lebih lagi, kos pendidikan dijangka akan terus meningkat pada masa depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, SSPN mempunyai pelbagai keistimewaan seperti simpanan dijamin oleh kerajaan dan juga patuh syariah selain kadar dividen yang diberikan adalah kompetitif berbanding simpanan di institusi kewangan lain.

“Pada tahun 2019 kadar dividen yang diberikan adalah 4 peratus malahan istimewanya skim ini merupakan satu-satunya pelan simpanan yang diberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun kepada ibu bapa yang membuat simpanan,” katanya.

Katanya, sambutan terhadap SSPN semakin meningkat setiap tahun dan sehingga 30 November lepas sebanyak 4.77 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM7.19 bilion.

Sementara itu katanya, sebanyak 218,144 akaun SSPN telah dibuka melibatkan deposit berjumlah RM298.08 juta di Negeri Sembilan.

“Kita berharap semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan khususnya akan terus menyokong usaha yang dibuat oleh PTPTN untuk menggalakkan penabungan dan diharapkan mereka yang menerima tabungan permulaan ini akan terus membuat simpanan secara konsisten,” katanya.