Jururawat individu pertama di Singapura disuntik vaksin Covid-19

Sarah Lim menjadi individu pertama di Singapura terima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech. - Foto Reuters
Sarah Lim menjadi individu pertama di Singapura terima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech. - Foto Reuters
A
A
A

SINGAPURA - Seorang jururawat di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) menjadi orang pertama di Singapura menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada Rabu.

Sarah Lim, 46, antara 30 kakitangan pertama di pusat itu yang disuntik vaksin, lapor Reuters.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana menjadi orang pertama diberi vaksin di Singapura,” katanya yang bertugas menyaring pesakit disyaki kes Covid-19.

Beliau berharap dapat menggalakkan orang lain menerima vaksin berkenaan.

Singapura adalah negara Asia pertama memulakan kempen inokulasi terhadap virus yang meragut nyawa lebih 1.7 juta orang seluruh dunia.

Vaksin itu memerlukan dua suntikan yang diberikan selang 21 hari.

Mereka yang menerima dos pertama pada Rabu dijadualkan mendapatkan dos kedua pada 20 Januari tahun depan.

Singapura juga negara Asia pertama meluluskan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech.

Artikel Berkaitan:

Negara itu turut menandatangani perjanjian pembelian lanjutan, selain membuat bayaran pendahuluan untuk beberapa vaksin termasuk yang dihasilkan Moderna and Sinovac.

Singapura menjangkakan mempunyai dos mencukupi untuk semua 5.7 juta penduduknya menjelang suku ketiga 2021.

Singapura bertindak pantas setelah kes pertama virus itu dilaporkan dan walaupun berdepan puluhan ribu jangkitan di sebuah asrama pekerja warga asing, namun dilaporkan hanya beberapa kes tempatan baharu dikesan dalam beberapa bulan terakhir.

Negara itu mempunyai salah satu kadar kematian Covid-19 terendah di dunia, hanya 29 orang yang mati akibat virus tersebut setakat ini.

Dalam pada itu, bagi membuktikan vaksin itu selamat, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, beliau dan rakan sekerjanya akan menjadi antara kumpulan pertama menerima suntikan.

Suntikan itu percuma dan atas dasar sukarela, tetapi kerajaan menggalakkan semua penduduknya yang layak dari segi perubatan supaya mengambilnya.

China sedang menyuntik kumpulan tertentu penduduk yang dianggap berisiko tinggi terhadap jangkitan seperti kakitangan kesihatan dan pegawai sempadan di bawah program kecemasan yang dimulakan pada Julai lalu.

Vaksin itu masih di peringkat percubaan klinikal di peringkat akhir.

Di Jepun dan Korea Selatan, tentera AS sudah memulakan suntikan vaksin Covid-19 dengan keutamaan diberikan kepada anggota perubatan barisan hadapan.

Begitu juga beberapa askar dan menteri di Filipina sudah menerima suntikan Covid-19 walaupun kelulusan penuh belum diberikan badan kawal selia.