X

Kindly register in order to view this article
!

Lima didakwa terlibat kes bunuh lelaki di lebuh raya

Mahkamah Majistret Kulai pada Rabu mendakwa lima lelaki kerana terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki di Lebuhraya Utara Selatan, di Kulai pada 20 Disember lalu.
A
A

KULAI - Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dakwaan terlibat dalam satu kejadian bunuh seorang lelaki di Kilometer 40.2 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini pada 20 Disember lalu.

Semua tertuduh, Ng Cheng Ket, 31; Kong King Xiang, 23; P Shanker Rao, 24; Choo Zhi Jie, 18, dan Ng Cheng Peng, 30, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Maleeha Syed Hussin.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dalam perbicaraan yang dijalankan secara maya ekoran nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak membenarkan kelima-lima suspek hadir ke mahkamah.

Arahan itu dibuat ekoran kesemua suspek kini dikenakan kuarantin di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua suspek bersama-sama berniat untuk menyebabkan bencana tubuh yang cukup secara lazimnya untuk menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki berusia 34 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 40.2 Lebuh Raya PLUS arah utara pada jam 12.30 tengah malam, 20 Disember lalu.

Disebabkan kesalahan itu, mereka semua didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Inspektor Polis, Mohammad Khairi Salleh yang menggantikan Timbalan Pendakwa Raya bagaimanapun memohon agar kes ditangguhkan bagi menunggu keputusan laporan kimia.

Sharifah Maleeha kemudian menetapkan tarikh 2 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh diwakili peguam, Datin Freda Sabapathy, Foo Fang Leong dan K Veeranesh Babu.

Dalam laporan Sinar Harian pada 24 Disember lalu, 10 ahli kongsi gelap Ngo Seik Kee (5 Colour) diberkas bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang penarik kereta berhampiran Sedenak pada 20 Disember lalu.

Kesemua suspek ditangkap di Bakri, Muar yang berusia 17 hingga 31 tahun itu dipercayai daripada geng kongsi gelap tersebut yang terlibat di tempat kejadian.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu kenyataan memberitahu, hasil siasatan mendapati motif kes berkenaan disebabkan berkaitan dengan isu rasa tidak puas hati tentang pembayaran kenderaan yang dibeli dan lari daripada pihak bank.

Mangsa yang dikenali sebagai Ram, seorang penarik kereta, ditemui meninggal dunia dalam longkang dengan beberapa kesan tetakan dan kecederaan pada anggota badan serta kepala.

Habis.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!