Selamat jalan tahun 2020

Pandemik Covid-19 mengubah cara hidup kita. Terlalu banyak yang dahulunya boleh kini bertukar menjadi tidak boleh.
Pandemik Covid-19 mengubah cara hidup kita. Terlalu banyak yang dahulunya boleh kini bertukar menjadi tidak boleh.
A
A
A

Pada tahun 541 Sebelum Masihi, kota Constantinople yang menjadi pusat pemerintahan Empayar Byzantine dilanda wabak Justine yang berpunca daripada bakteria Yersinia pestis.

Wabak itu pantas tersebar ke seluruh Eropah, Asia, Afrika Utara dan Semenanjung Arab mengakibatkan kematian antara 30 hingga 50 juta jiwa atau kira-kira separuh daripada penduduk dunia ketika itu.

Jika ditanya pada manusia zaman itu, pastinya mereka akan berkata, itulah tahun paling buruk dalam sejarah.

Kira-kira 1,000 tahun kemudian, pada tahun 536 Masihi berlaku letupan gunung berapi di Iceland yang debunya memenuhi ruang angkasa sebahagian besar dunia selama 18 bulan.

Kesan letupan itu menyebabkan sebahagian muka bumi berkeadaan separa gelap, suhu jatuh mengejut, tanaman mati, kadar kebuluran meningkat dan ia kemudiannya disusuli wabak penyakit yang mengakibatkan 25 hingga 50 peratus penduduk Empayar Rom mati. Bagi manusia pada era itu, tahun 536 Masihi tentulah dianggap tahun yang paling buruk dalam sejarah.

Saya ingin memberikan lebih banyak contoh tetapi ruang yang terbatas menyebabkan saya terpaksa memujuk hati dengan berkata, dua contoh di atas sudah memadai.

Yang penting, maksud yang hendak disampaikan iaitu manusia sering beranggap perkara buruk yang dialaminya adalah yang paling buruk sehingga lupa bahawa mungkin ada orang lain yang nasibnya lebih teruk.

Kita yang hidup sepanjang tahun 2020 pun begitu. Ia bagi kita tahun yang sukar. Begitu sukar sehinggakan kita tidak tahu bagaimana ia hendak dicatatkan dalam buku sejarah jika disyaratkan bahawa sejarah itu mestilah indah dan manis.

Artikel Berkaitan:

Hanya dua bulan pertama tahun 2020 boleh dianggap ‘agak okey’. Itu pun oleh penduduk dunia. Di Malaysia ‘agak kurang okey’ kerana dua bulan pertama itu kita terpaksa melalui suasana politik yang tidak begitu tenteram.

Ketika dunia ‘sedang okey’, ketika mereka yang percaya pada ramalan zodiak sedang mengharap Tahun Tikus membawa nasib yang lebih baik daripada tahun sebelumnya, dunia dikejutkan daripada lenanya dengan serangan koronavirus yang semakin ganas.

Jika pada mulanya ia cuma berlegar di Wuhan – tempat ia mula dikesan dan di beberapa wilayah lain di China, virus berbahaya itu mula menerobos sempadan antarabangsa, ke merata penjuru.

Ketika ia mula dikesan pada Disember 2019, tiada sesiapa di luar kawasan berkaitan mempedulikannya. Ia hanya dianggap wabak biasa yang akan berlalu bersama masa tetapi keadaan berubah pada dua tiga bulan berikutnya. Penyakit yang dibawa koronavirus, yang pada 11 Februari 2020 dinamakan secara rasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Covid-19 mula menampakkan taringnya.

Ia bergerak keluar dari China dan menerobos sempadan antarabangsa, di merata penjuru. Yang tinggal selepas itu hanyalah sejarah. Sehingga artikel ini ditulis, penyakit itu telah menjangkiti 81 juta warga dunia dan mengorbankan 1.77 juta nyawa. Di Malaysia, jumlah korbannya 452 orang dan jumlah jangkitan pula mencecah 105,000.

Kemurungan

Selain mengorbankan nyawa, pandemik itu turut mengorbankan kehidupan. Berjuta orang kehilangan pekerjaan, berjuta perniagaan gulung tikar, berjuta orang terpaksa mengikat perut demi kelangsungan hidup, berjuta orang dilanda kemurungan. Ya, semuanya berjuta. Berjuta-juta.

Tidak cukup dengan itu, Covid-19 mengubah cara hidup kita. Terlalu banyak yang dahulunya boleh kini bertukar menjadi tidak boleh. Yang paling sukar untuk kita terima barangkali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada peringkat awal, ia menjadi perintah yang membingungkan. Di sesetengah tempat di dunia, perintah seumpama itu mencetuskan bantahan dan rusuhan. Selain PKP, ada pula kuarantin. Semua itu pelik dan asing. Sesuatu yang mungkin biasa kita dengar tetapi tidak pernah terfikir akan melaluinya.

Bagi yang rajin membelek sejarah akan segera tahu bahawa langkah kawalan seumpama itu bukanlah perkara baharu. Langkah menjadi kuarantin sebagai cara mengelak penyebaran penyakit berjangkit juga telah lama dipraktikkan.

Wabak Apabila wabak Maut Hitam atau The Black Death melanda Eropah pada tahun 1347, lebih 200 juta kematian dalam tempoh empat tahun sahaja. Sebagai langkah mengawalnya, pihak berkuasa di beberapa pelabuhan – bermula di pelabuhan Ragusa, Sicily – memerintahkan semua anak kapal di kuarantin dalam kapal masing-masing selama 30 hari sebelum dibenarkan turun ke darat. Tempoh itu kemudian dinaikkan kepada 40 hari.

Pada tahun 1500-an, London yang berdepan dengan serangan wabak hampir setiap 10 tahun sekali bermula dari 1348 hingga 300 tahun berikutnya telah memperkenalkan undang-undang memisah dan mengasingkan pesakit.

Di bawah undang-undang itu, rumah yang dilanda wabak ditandai dengan sebatang jerami yang disangkut pada tiang di luar. Sekiranya anda datang daripada keluarga pesakit, maka anda diwajibkan membawa tiang putih ketika keluar di khalayak ramai. Hampir sama dengan perintah memakai gelang berwarna sekarang ini.

Kita tidak tahu bila Covid-19 akan berakhir. Penemuan vaksin dan usaha ke arah penggunaannya mungkin memberikan sedikit kelegaan tetapi ia tidak boleh dijadikan penentu mutlak bahawa wabak itu akan berakhir.

Kita juga tidak tahu selepas pandemik ini, ujian apa lagi yang akan menanti. Sebagai hamba-Nya, kita harus bersedia untuk reda dan mengambil segala hikmah serta iktibar yang datang bersama musibah itu.

Saya pernah menulis di ruangan ini beberapa minggu lalu tentang bagaimana pandemik Covid-19 memberi peluang kepada kita untuk menjadi lebih rapat dengan keluarga, selain membuka ruang baharu untuk menjana pendapatan dana kesempatan baharu untuk menajamkan fikiran.

Saya juga cenderung untuk melihat apa yang berlaku sepanjang 2020 adalah satu proses bagi memperlahankan keghairahan manusia.

Sehingga tahun-tahun terakhir menjelang 2020, kita dapat melihat bagaimana dunia ini sarat dengan cerita dan berita tentang ghairahnya manusia untuk memuncakkan lagi kemajuannya. Begitu ghairah sehingga tidak mustahil wujud kelompok-kelompok yang mula terfikir bahawa dengan ilmunya, manusia berkuasa melakukan apa sahaja.

Di tengah ghairah itulah ALLAH SWT menghantar makhluk yang amat kecil untuk menyampaikan mesej mudah kepada manusia bahawa ilmu mereka sebenarnya tidaklah sehebat mana. Kuasa-kuasa teknologi boleh bercerita tentang cakerawala, perut bumi dan apa sahaja tetapi ia tidak mampu mematahkan serangan ‘soldadu kecil’ yang bernama koronavirus.

Malah, ia kalah teruk sebelum perang sebenar bermula. Itulah kenyataannya. Atas faktor itulah, saya suka mengajak kita semua untuk melihat tahun 2020 sebagai tahun anugerah, tahun bermuhasabah untuk melihat ke dalam diri dan persekitaran bagi membina iltizam dan tekad untuk membetulkan apa yang perlu.

Ia juga tahun untuk kita membuat persiapan bagi melakukan lonjakan berganda demi menebus masa yang hilang dan terbuang. Ayuh, tunggu apa lagi? Selamat jalan 2020.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan * Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan