Undang Tun M sekalipun kena patuh prinsip PH, kata Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, wajib mematuhi prinsip perjuangan dikemukakan Pakatan Harapan (PH) sekiranya ingin menyertai gabungan itu membentuk gabungan besar parti pembangkang.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerahkan kepada gabungan itu untuk mengundang sesiapa sahaja bagi menjayakan usaha pembentukan gabungan besar parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak diundang tidak boleh membawa agenda peribadi.

"Itu saya serah kepada PH, siapa pun kita boleh undang tetapi kena ikut prinsip kita, kena patuh...bukan bawa agenda peribadi dan meneruskan kebobrokan lama.

"(Mereka yang menyertai gabungan besar) perlu jelas dengan agenda kami untuk memerangi kebobrokan di peringkat pentadbiran negara selain perlu menjuarai isu kesusahan rakyat terutama masalah rakyat luar bandar yang terpinggir," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku '100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011' karya nukilan Dinsman di bangunan Institut Darul Ehsan (IDE) pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan dasar Presiden Amanah, Mohamad Sabu di Konvensyen Amanah pada 26 Disember lalu yang menyentuh mengenai cadangan gabungan besar antara parti pembangkang bagi menghadapi PRU15.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah mahu perkukuh PH, kata Mohamad Sabu

Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan perjanjian asal menyokong Anwar memimpin negara seperti dijanjikan PH selepas memenangi PRU14 perlu dikotakan bagi membolehkan cadangan itu direalisasikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat menyifatkan soalan berkenaan tuntutan atau keinginan Dr Mahathir untuk kembali menerajui negara dianggap sudah tidak relevan.

Sebaliknya, beliau menegaskan sesiapa sahaja yang ingin menjadi Perdana Menteri pada masa hadapan, baik beliau atau individu lain, harus mempunyai tekad melaksanakan reformasi serta tadbir urus kerajaan berintegriti.

"Tidak kisah Anwar atau individu lain, sesiapa yang berminat mengetuai gabungan besar perlu komited melaksanakan reformasi, urus tadbir kerajaan dengan baik, memerangi rasuah dengan tidak melindungi kroni dan keluarga serta berani melakukan perubahan besar demi mandat rakyat," katanya.