Miros cadang laluan khas untuk motosikal

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyediaan laluan khas untuk motosikal mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan tersebut terutamanya yang berenjin kapasiti kecil.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Datuk Suret Singh berkata, pada masa sama katanya, langkah itu perlu disokong dengan penguatkuasaan yang efektif bagi mengelak penyalahgunaan laluan oleh kenderaan lain.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata, disebabkan cadangan laluan khas itu terletak bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya, Miros akan berbincang lebih lanjut dengan kementerian tersebut serta Kementerian Pengangkutan.

Suret yang dilantik sebagai Pengerusi Miros baharu pada 5 Februari lepas, sebelum itu melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Mohd Khairul Adib Abd Rahman di kementerian berkenaan.

Katanya Miros juga akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia bagi memperkukuh aspek pengkuatkuasaan di jalan raya.

“Kerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan amat diperlukan dalam memastikan jalan raya di negara ini adalah selamat dan selesa untuk pengguna,” katanya.

Mengulas pertemuannya dengan Mohd Khairul Adib, Suret berkata, mereka turut membincangkan soal keselamatan memandangkan banyak kematian dicatatkan akibat kemalangan di jalan raya.

Beliau berpendapat dalam soal keselamatan di jalan raya, kaedah penyampaian mesej atau nasihat haruslah jelas dan sesuai kerana usaha kerajaan dalam soal memantapkan keselamatan jalan raya adalah demi kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kita mahu menyelamatkan nyawa orang awam jadi seharusnya ia melibatkan sokongan dan peranan semua pihak dalam apa sahaja usaha untuk mewujudkan jalan raya yang selesa dan selamat," katanya. - Bernama