Selepas seminggu, Trump akhirnya luluskan rangsangan RM3.6 trilion

Trump menandatangani rang undang-undang rangsangan bernilai RM3.6 trilion semalam. - Foto AFP
Trump menandatangani rang undang-undang rangsangan bernilai RM3.6 trilion semalam. - Foto AFP
A
A
A

PANTAI WEST PALM - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya menandatangani rang undang-undang rangsangan berjumlah AS$900 bilion (RM3.6 trilion) semalam selepas menangguhkannya selama hampir seminggu.

Trump bertindak sedemikian selepas beliau menerima tekanan daripada semua pihak supaya menandatanganinya bagi merangsang ekonomi dan perniagaan berjuta-juta rakyat AS yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

Rang undang-undang itu adalah sebahagian daripada perbelanjaan besar dan menerusi tandatangan Presiden AS itu, ia akan mengelakkan kerajaan AS daripada ditutup pada Selasa lalu.

"Saya menandatangani rang undang-undang ini bagi memulihkan bantuan penganggur, menghentikan penyingkiran, menyediakan bantuan sewa, menambahkan wang kepada PPP (Program Perlindungan Gaji), mengembalikan pekerja-pekerja penerbangan kembali bekerja, menambahkan lebih banyak wang untuk pengedaran vaksin (Covid-19) dan banyak lagi," kata Trump.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dari resort percutiannya di Mar-a-Lago di Florida.

Sebelum ini, Trump enggan menandatangani pakej bantuan itu yang telah diluluskan oleh Kongres AS berikutan rundingan yang berlangsung selama beberapa bulan.

Dua program bantuan pengangguran telah diluluskan pada bulan Mac lalu sebagai sebahagian daripada bantuan awal Covid-19.

Ia sepatutnya tamat tempoh pada tengah malam Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Bakal Presiden AS, Joe Biden memberi amaran pada Sabtu lalu tentang kesan besar yang merosakkan jika Trump enggan menandatangani rang undang-undang tersebut.- AFP