Lang Merah hormati kekuatan Perak

Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kanan) galas tugas berat memimpin Lang Merah berdepan TBG di Ipoh, malam esok. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kanan) galas tugas berat memimpin Lang Merah berdepan TBG di Ipoh, malam esok. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

LANG Merah mahu meneruskan momentum terbaik mereka dalam saingan Liga Super 2019 apabila berdepan Juara Piala Malaysia 2018, Perak malam esok pada perlawanan kedua di Ipoh.

Selepas menang 2-0 ke atas PKNP FC di Manjung pada Sabtu lalu, kali ini Kedah pastinya tidak diberikan laluan mudah kerana The Bos Gaurus (TBG) dibarisi ramai pemain berkualiti sejak dua tahun lalu selain dibimbing jurulatih berpengalaman, Mehmet Durokovic.

"Persefahaman di kalangan pemain mereka memang tidak boleh dinafikan lagi kerana pemain Perak telah beraksi bersama sejak beberapa tahun lalu.

"Kami hormati kekuatan yang dimiliki oleh pasukan tuan rumah namun Kedah hadir ke sana tetap dengan sasaran untuk meraih kemenangan," kata Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Shahrin Sahak.

Jelasnya, beliau percaya tekanan tinggi kini sedang dirasai oleh TBG selepas tewas 1-0 pada aksi pertama merebut Piala Sumbangsih 2019 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin.

"Pada aksi persahabatan Unity Shield 2019, Kedah berjaya mengatasi Perak 2-0 namun saya akui mereka tidak membariskan seluruh kekuatan utama pada perlawanan tersebut dan perlawanan sebenar ini saya yakin Kedah akan diberikan tentangan yang sengit.

"Sudah tentu kami akan ke Ipoh dengan semangat yang positif dan jika semua pemain bekerja keras pada perlawanan tersebut, Kedah akan mencapai kemenangan," katanya.

Dalam pada itu Aidil Shahrin berkata, kualiti yang ditunjukkan oleh pemain import di jentera serangan pada musim ini seperti Jonathan Bauman dan Fernando Ortega telah menghadirkan keyakinan kepada penyokong selepas pasukan kehilangan khidmat Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau juga mengakui Perak mempunyai trio yang mempunyai ketajaman di barisan serangan dan berharap Kedah akan bekerjasama satu pasukan bagi mematahkan serangan pantas pasukan tuan rumah.

"Alhamdulillah, sejak beberapa perlawanan lalu benteng pertahanan Kedah menunjukkan prestasi yang cukup baik apabila tidak membenarkan gawang kita dibolosi dan perkara ini perlu dikekalkan kerana memberikan motivasi kepada seluruh pasukan secara keseluruhan," katanya.

Tambahnya, paling penting beliau mahu momentum kemenangan terus dikekalkan dari satu perlawanan ke satu perlawanan kerana perkara tersebut juga yang turut diharapkan oleh seluruh penyokong pasukan tersebut pada musim ini.