Kastam tidak kompromi jika pegawai lindungi kartel daging

Kegiatan penyeludupan daging sejuk beku dilakukan sindiket dipercayai menggunakan dokumen palsu termasuk borang kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran. (Gambar kecil: Abdul Latif Abdul Kadir)
Kegiatan penyeludupan daging sejuk beku dilakukan sindiket dipercayai menggunakan dokumen palsu termasuk borang kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran. (Gambar kecil: Abdul Latif Abdul Kadir)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pegawai dan anggotanya bersekongkol dengan sindiket kartel daging sejuk beku.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang terlibat.

"Setakat ini, tiada bukti jelas membuktikan bahawa pegawai dan anggota saya terlibat.

"Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa terlibat untuk menyiasat perkara ini. Biar kes ini disiasat terlebih dahulu dan saya sama sekali tidak akan bersekongkol melindungi pegawai saya sekiranya dikesan terlibat dalam sindiket kartel," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Abdul Latif berkata, sekiranya benar terdapat pegawainya yang terlibat, beliau mengalu-alukan tindakan diambil segera.

Jelasnya, pihaknya kini sedang menunggu hasil siasatan penuh berkenaan isu kartel daging sejuk beku.

Pada 1 Disember lalu, susulan pendedahan Sinar Harian, sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Maqis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu gudang terbabit pada jam 10.30 pagi.

Siasatan mendedahkan kegiatan penyeludupan masuk yang dilakukan sindiket terbabit dipercayai akan menggunakan dokumen palsu termasuklah borang kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran.

Artikel Berkaitan:

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, pada masa sama, sindiket turut mengimport daging dari sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit dan akan diletakkan di satu bahagian khas untuk disimpan.

Pemeriksaan lanjut juga mendapati daging yang dicurigai itu kemudian akan dibuat pembungkusan semula di dalam sebuah bilik yang dilengkapi mesin pemotong.

Difahamkan kerja-kerja pembungkusan itu dilakukan beberapa pekerja warga Bangladesh.

Daging atau organ dalaman tersebut akan dimasukkan di dalam kotak sebelum ditampal dengan pelekat serta dicop dan dilabel seakan-akan daging terbabit adalah halal.

Siasatan mendapati cop logo berkenaan ditempah dari sebuah premis percetakan di Ulu Tiram, Johor.

Maqis juga mengesan pembuatan pelekat yang dihasilkan sendiri di gudang berkenaan.

Daging 'halal' yang selesai dibungkus semula kemudian akan diletakkan di peti simpanan bersuhu sejuk yang lebih besar. Malah ia juga dicampur dengan susunan daging lain yang memiliki sijil halal yang sah.

ARTIKEL BERKAITAN: Penguat kuasa korup guna kod rahsia 'daging karpet merah’

Daging import haram dijual secara online

Kartel tukar daging haram jadi halal