Pas Kelantan yakin pilihan pimpinan parti

Che Abdullah turut mengharapkan semua peladang bersatu hati dan menjalankan kerja sebaik mungkin dengan bantuan dihulurkan kerajaan.
Che Abdullah turut mengharapkan semua peladang bersatu hati dan menjalankan kerja sebaik mungkin dengan bantuan dihulurkan kerajaan.
A
A
A

TUMPAT - Pas Kelantan yakin pimpinan tertinggi parti akan membuat pilihan terbaik dan rasional membabitkan isu bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kepentingan agama akan menjadi keutamaan dalam semua keputusan yang dibuat kerana itu menjadi harapan rakyat.

Katanya, rakyat sudah melalui pengalaman berada di bawah pimpinan Pakatan Harapan sepanjang 22 bulan.

“Untuk hidup dalam politik, pemimpin mesti membuat keputusan yang sesuai dengan kehendak dan menyelamatkan rakyat,” katanya selepas menghadiri Majlis Santai Peladang di sini Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mahu Pas membuat pendirian yang jelas sama ada ingin bersama MN atau PN pada PRU15 nanti.

Pada program sama Ahli Parlimen Tumpat itu turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf di samping menziarahi 10 keluarga asnaf terpilih yang turut dihadiri Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.

Che Abdullah (kiri) bersama isteri, Datin Saleha Yaacob dan Mohd Rusli (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Mek Mas Hamat,67, yang uzur sempena program Santai Peladang pada Ahad.
Che Abdullah (kiri) bersama isteri, Datin Saleha Yaacob dan Mohd Rusli (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Mek Mas Hamat,67, yang uzur sempena program Santai Peladang pada Ahad.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, sehingga kini keputusan Pas konsisten dan memperkukuhkan MN serta mempertahankan PN.

Artikel Berkaitan:

“Maknanya kerajaan hari ini perlu dipertahankan sehingga PRU akan datang. Kita cukup yakin yang kerajaan hari ini disokong oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program Santai Peladang pula Che Abdullah berkata, kesemua penerima hari ini mendapat sumbangan menerusi peruntukkan RM1.4 juta zakat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) tahun ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM100,000 diagihkan untuk asnaf di Kelantan.

“Sebanyak RM3.91 juta wakalah zakat Nafas diagihkan melalui Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 19,550 keluarga seluruh negara.

“PPN Kelantan menerima wakalah zakat Nafas i berjumlah RM80,000 manakala sebanyak RM340,000 lagi untuk diagihkan kepada 34 PPK di dalam negeri Kelantan,” katanya.