PR1MA pertama di pulau siap 2024

Zuraida (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah PR1MA Residen Bukit Gelugor hari ini.
Zuraida (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah PR1MA Residen Bukit Gelugor hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Penduduk Pulau Pinang kini boleh menarik nafas lega susulan rancangan pembinaan pertama Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di kawasan pulau, selepas pembinaan pertama di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah empat tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kerjasama antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) serta Ideal Property Group akhirnya direalisasikan pada tahun hadapan.

Menurutnya, perumahan PR1MA Residensi Bukit Gelugor itu yang pada mulanya dicadangkan di kawasan pulau dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

"Projek pertama yang kita lancarkan di Pulau Pinang selepas kemelut Covid-19 ini diharap akan membantu Pulau Pinang mencapai sasaran penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat," katanya pada sidang akhbar di tapak projek PR1MA Residensi Bukit Gelugor, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abd Rashid.

Zuraida (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah PR1MA Residen Bukit Gelugor hari ini.
Zuraida (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah PR1MA Residen Bukit Gelugor hari ini.

Beliau berkata, projek berkenaan menyediakan 2,850 unit kediaman pada harga siling RM300,000 ke bawah bagi memenuhi permintaan daripada pelbagai kategori pendapatan penduduk dengan kelengkapan bertaraf kondominium.

Tambahnya, Residensi Bukit Gelugor menjadi projek PR1MA yang pertama di negeri ini dibangunkan dengan menggunakan model perniagaan terbaru agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini juga merupakan projek pertama PR1MA di kawasan pulau dan dibangunkan menggunakan model perniagaan terbaru PR1MA.

Zuraida berkata, pembeli yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada pemaju yang mana, kerajaan negeri akan membuat tapisan bagi memastikan pemohon yang layak sahaja boleh memiliki rumah berkenaan.

Sebelum ini, lebih 50 unit kuarters Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di kawasan Kampung Kastam di Bukit Gelugor di sini dirobohkan pada 2017 bagi memberi laluan kepada projek PR1MA di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, sehingga kini, secara rasminya kerajaan negeri dimaklumkan terdapat empat projek PR1MA di peringkat perancangan dan peringkat awal pembinaan termasuk dua di bahagian pulau.

Tambahnya, dua lagi tanah yang bakal dibangunkan PR1MA adalah di kawasan Batu Ferringghi serta Seberang Perai yang mana, ia akan dimajukan selepas isu berkaitan tanah di kawasan tersebut diselesaikan.