Kemenangan ubat luka penyokong The Gunners

Kesebelasan Arsenal meraikan gol jaringan Alexandre Lacazette pada perlawanan berkenaan
Kesebelasan Arsenal meraikan gol jaringan Alexandre Lacazette pada perlawanan berkenaan
A
A
A

KEJAYAAN Arsenal membenam Chelsea 3-1 di Emirates awal pagi tadi diharap mampu ‘mengubat luka’ penyokong berikutan prestasi buruk The Gunners dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak hampir dua bulan lalu.

Menurut pengendalinya, Mikel Arteta, kemenangan berkenaan sekali gus menamatkan rentetan tujuh kekalahan berturut-turut Arsenal dalam saingan EPL selain turut tersingkir daripada saingan Piala Liga setelah tumpas 1-4 kepada Manchester City di gelanggang sama 23 Disember lalu.

“Keputusan (perlawanan ini) adalah perkara paling utama hari ini kerana kami memang perlukan kemenangan setelah melalui saat-saat mengecewakan bagi tempoh lapan minggu sejak kebelakangan ini dan hari ini ibarat ‘hari besar’ buat kami.

“Sejak wisel permulaan, kita dapat lihat kesebelasan pemain begitu bersemangat untuk mencatatkan kemenangan berkenaan setelah menyedari mereka telah ‘mengecewakan’ penyokong sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Apabila kita diberikan sepakan penalti, saya sendiri tidak mempercayainya. Secara keseluruhannya inilah keajaiban dalam sukan bola sepak,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Alexandre Lacazette membuka jaringan buat The Gunners apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-34 sebelum Granit Xhaka melebarkan kedudukan pada minit ke-44.

Arsenal dilihat terus mendominasi perlawanan pada babak kedua dan hasilnya Bukayo Saka menjaringkan gol ketiga pada minit ke-56, sebelum Chelsea merapatkan jurang gol pada minit ke-85 menerusi Tammy Abraham.

Kemenangan berkenaan menyaksikan Arsenal kini berada pada kedudukan ke 14 EPL dengan 17 mata, hasil lima kemenangan, seri dua kali dan tewas lapan kali daripada 15 perlawanan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Arteta berharap agar kemenangan berkenaan mampu menjadi permulaan buat skuad The Gunners itu untuk memperbaiki kedudukan pasukan dan kembali berada dalam senarai empat pasukan terbaik EPL (EPL Big Four).

“Ia nyata kemenangan besar buat kit adan semoga ia menjadi permulaan yang baik untuk kita dalam saingan EPL, namun masih banyak yang perlu kita perbaiki.

“Apa pun, ia sesuatu yang indah untuk diberikan kepada penyokong yang agak kecewa selama ini,” katanya.