ADUN Dengkil positif Covid-19, PKM ditutup 14 hari

Adhif Syan Abdullah
Adhif Syan Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah disahkan positif Covid-19 sehari selepas menjalani saringan bersama pemandunya pada Jumaat.

Susulan itu, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Dengkil akan ditutup selama 14 hari untuk operasi nyah cemar.

Adhif Syan berkata, beliau melakukan saringan sebagai langkah pencegahan selepas pemandunya mengalami simptom demam sejak dua hari lalu.

"Kami membuat ujian swab sejurus selesai urusan kerja harian dan hari ini (Sabtu) disahkan positif oleh pihak hospital.

" Alhamdulillah, ketika ini kami masih dalam keadaan stabil dan akan dibawa ke hospital esok (Ahad) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin serta rawatan," katanya dalam satu kenyataan di Page Facebook beliau pada Sabtu.

Dalam pada itu, Adhif Syan berkata, KKM serta pihak berkuasa lain telah dimaklumkan dan kontak rapatnya telah dikesan serta disaring mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama jika diminta oleh pihak berkuasa," katanya.

Katanya, seluruh staf PKM akan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing selepas menjalani saringan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan izin ALLAH SWT serta berkat doa tuan-tuan dan puan-puan, Insya-ALLAH kami akan dapat mengharungi dugaan ini dan kembali semula untuk berkhidmat segera dengan lebih berdedikasi.

"Saya memohon maaf jika mendatangkan sebarang kesulitan dan akan memaklumkan perkembangan keadaan kesihatan saya serta pengoperasian PKM dari masa ke masa," katanya.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi pejabatnya melalui emel: adhifsyan.dengkil@gmail.com untuk berurusan sepanjang tempoh itu.