Isu tular video TH Properties perlu siasatan dalaman

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary
A
A
A

KOTA BHARU - Isu video tular melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Properties hanyalah bersifat masalah dalaman dan tidak menggambarkan imej agensi itu secara keseluruhan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihak TH juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu tersebut dan individu berkenaan telah membuat permohonan maaf.

Bagaimanapun, menurutnya, apa yang berlaku dalam video berdurasi kurang tiga minit itu tetap memerlukan siasatan dalaman secara menyeluruh dan komprehensif.

"Mesyuarat itu tertutup, tetapi tidak tahu bagaimana boleh tersebar. Barangkali ada perkara perlu disiasat secara menyeluruh dan komprehensif.

"Kenyataan media itu memadai, tapi di peringkat pelaksanaan juga tetap perlu ada siasatan dalaman untuk ketahui apa yang berlaku dari segi pentadbiran," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau hadir Program Berkhatan Peringkat Pengkalan Chepa di Dewan Besar Pasti di Penambang di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai video yang melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif TH Properties yang didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan dalam satu mesyuarat yang dipercayai melibatkan kakitangan pentadbiran agensi itu.

Bagaimanapun, pihak TH Properties dikatakan telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan menjelaskan tentang isu penularan video tersebut.

Artikel Berkaitan: