30 tan sampah banjir dikumpul di Kemaman

Antara timbunan sampah, kesan daripada banjir di perumahan Rumah Mampu Milik Teluk Kalong, Kemaman.
Antara timbunan sampah, kesan daripada banjir di perumahan Rumah Mampu Milik Teluk Kalong, Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Bencana banjir fasa keempat yang melanda Kemaman baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan banyak kerosakan, malah turut menghimpunkan 30 tan sampah.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jusman Ibrahim berkata, bagi memastikan kawasan yang terjejas bersih daripada timbunan sampah, pihaknya telah memulakan kerja pembersihan bermula Ahad lalu.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan itu dijangka mengambil masa selama seminggu.

"Proses pembersihan ini melibatkan hampir 200 kakitangan MPK dan kita turut dibantu beberapa agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sukarelawan.

"Antara kesukaran yang kita hadapi ialah apabila sampah ini bercampur dengan lumpur. Jadi kerja-kerja pembersihan mengambil masa kerana kita terpaksa menggunakan hos selain bantuan daripada pasukan bomba dalam memastikan kerja-kerja pembersihan dapat dijalankan dengan lancar," katanya.

Kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas banjir di Kemaman telah bermula sejak Ahad lalu.
Kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas banjir di Kemaman telah bermula sejak Ahad lalu.

Jelasnya, kerja-kerja pembersihan kini giat dijalankan bagi mengelakkan kesulitan kepada penduduk yang terjejas, selain mengelakkan berlakunya penyakit berjangkit kesan daripada bencana banjir.

Selain itu katanya, kerja-kerja penyelenggaraan di setiap saliran di Kemaman, khususnya di kawasan yang sering terjejas dengan banjir juga dilakukan bagi menghadapi gelombang banjir yang akan datang.

Artikel Berkaitan:

Gelombang banjir fasa keempat kali ini menyaksikan lebih 8,000 penduduk yang terjejas, melibatkan daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu dengan Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan lebih 7, 000 orang.