Ah long simbah cat, baling bom petrol ditahan

Beng Yeow (tengah) pada sidang akhbar berhubung penangkapan dua ahli sindiket ah long di IPD Kulai pada Khamis.
Beng Yeow (tengah) pada sidang akhbar berhubung penangkapan dua ahli sindiket ah long di IPD Kulai pada Khamis.
A
A
A

KULAI - Polis menahan dua anggota sindiket ah long yang disyaki terlibat dalam 11 kes jenayah di Kulai, Tampoi dan Bukit Indah selepas menyerbu sebuah apartment di Danga Bay, Johor Bahru pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 22 dan 25 tahun itu ditahan pada jam 1.35 pagi selepas pihaknya menerima dua laporan polis daripada mangsa sindiket berkenaan pada Selasa dan Rabu.

"Dalam laporan pertama, pengadu seorang lelaki berusia 52 tahun memaklumkan terdapat dua lelaki tidak dikenali menyimbah cat di depan rumahnya sebelum melarikan diri pada jam 11.45 malam pada Isnin lalu.

"Pengadu yang sama kemudian membuat laporan polis kedua memaklumkan suspek sekali lagi melakukan ugutan dengan membaling bom petrol di kediamannya, jam 1 pagi pada Rabu sebelum melarikan diri," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini pada Khamis.

Beng Yeow berkata, dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta jenis Proton Waja yang digunakan suspek beserta dua telefon bimbit.

Beliau berkata, siasatan terhadap suspek mendapati seorang daripada mereka sedang diburu polis bersabit kesalahan jenayah lampau.

"Kedua-kedua suspek kini direman selama enam hari sejak Rabu, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: