UK kesan varian kedua Covid-19

Matt Hancock
Matt Hancock
A
A
A

LONDON - United Kingdom (UK) mengesan satu lagi varian baharu Covid-19 yang berpotensi lebih berjangkit menerusi kes yang ada kaitan dengan virus bermutasi di Afrika Selatan selepas negara itu mengumumkan penemuan jenis B117 yang menular dengan cepat pada minggu lalu.

"Kami berjaya mengenal pasti dua kes baharu hasil daripada keupayaan genom mengagumkan. Kedua-duanya adalah kontak kes yang melakukan perjalanan dari Afrika Selatan beberapa minggu lalu," kata Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock pada Rabu.

Penemuan itu dibuat selepas Jabatan Kesihatan di Afrika Selatan mendedahkan mutasi virus dikenali sebagai 501.V2 yang mencetuskan gelombang kedua jangkitan di negara tersebut.

Ketika ini, London sedang bergelut untuk membendung penularan varian baharu tersebut yang didakwa 70 peratus lebih mudah disebarkan malah penyelidikan lanjut juga telah dijalankan.

"Varian baharu itu lebih membimbangkan kerana ia juga mudah menular. Ia mempunyai mutasi yang berbeza berbanding B117 yang ditemui di UK. Kami masih mengkaji tentang varian Afrika Selatan itu," jelasnya.

Susulan penemuan itu, beliau turut mengarahkan mana-mana kontak rapat dengan individu terbabit dan mereka yang kembali dari Afrika Selatan sejak dua minggu lalu perlu menjalani kuarantin.

"Sekatan perjalanan dari Afrika Selatan telah dilaksanakan serta-merta," ujarnya lagi.

Sementara itu, Susan Hopkins dari Jabatan Kesihatan Awam England menzahirkan keyakinan penularan varian Afrika Selatan itu lebih mudah dikawal.

Artikel Berkaitan:

"Vaksin yang sudah dihasilkan sudah tentu efektif untuk mengawal penyebaran varian baharu tersebut. Tiada bukti menunjukkan vaksin sedia ada tidak berkesan kerana ia menghasilkan tindak balas imun yang kuat terhadap pelbagai jenis virus," tambahnya lagi.

Sejak akhir minggu lalu, beberapa negara antarabangsa telah menutup sempadan mereka kepada UK dan Afrika Selatan susulan kebimbangan semakin meningkat terhadap penularan varian baharu tersebut. - Agensi