X

Kindly register in order to view this article
!

Dapur Darurat Kak Zah bantu mangsa banjir

Salah seorang sukarelawan Dapur Darurat Kak Zah mengangihkan makanan menggunakan perahu kepada mangsa banjir di kediaman mereka sekitar pekan Rantau Panjang.
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang wanita memanfaatkan pengalaman dan kemahirannya sebagai tukang masak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk membantu mangsa banjir yang terkandas susulan tidak dapat berpindah dengan memperkenalkan khidmat 'dapur darurat'.

Pemilik nama penuh Pauziah Che Wook, 63, atau lebih mesra disapa Kak Zah itu memperkenalkan Dapur Darurat Kak Zah yang berkonsepkan makanan berbungkus yang dimasak secara bergotong-royong bersama penduduk dan ia hasil sumbangan orang ramai.

Pauziah yang merupakan aktivis masyarakat berkata, Dapur Darurat Kak Zah diperkenalkan pada tahun 2015 bagi membantu golongan yang terjejas akibat bencana alam itu.

"Setelah 'bersara' sebagai petugas di PPS, saya kembali ke kampung, mendengar rintihan serta melihat sendiri keperitan mangsa banjir yang terkandas apabila tidak dapat berpindah selepas rumah mereka ditenggelami banjir. Bertitik tolak dari sini, saya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan konsep tersebut. Dapur ini digerakkan bersama dengan anak jati Rantau Panjang, Amran Abdul Rahman yang juga seorang aktivitis masyarakat.

"Amran bertindak mencari dana bagi menyokong usaha ini dan saya sebagai tukang masak," kata wanita itu ketika ditemui pemberita di pusat operasi Dapur Darurat Kak Zah di Bazar Siti Aminah pada Khamis.

Kak Zah (tiga,kanan di hadapan) bersama sukarelawan Dapur Darurat Kak Zah bersiap sedia untuk mengagihkan makanan kepada mangsa banjir yang terkandas di sekitar Rantau Panjang.
Kak Zah (tiga,kanan di hadapan) bersama sukarelawan Dapur Darurat Kak Zah bersiap sedia untuk mengagihkan makanan kepada mangsa banjir yang terkandas di sekitar Rantau Panjang.

Tambah Kak Zah, setiap hari dia bersama sukarelawan terdiri daripada penduduk setempat akan menyediakan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir sebanyak tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan malam.

Katanya, makanan yang telah siap dibungkus itu akan diagihkan oleh sukarelawan menggunakan perahu kepada penduduk yang terjejas.

"Namun perkhidmatan ini tidak tertumpu ketika musim banjir sahaja sebaliknya ia turut diperluaskan pada bulan lain. Antara golongan yang sering dibantu adalah anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan asnaf," kata wanita itu lagi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!