[VIDEO] Dividen ASB 4.25 sen, pengagihan ehsan 0.75 sen

Zeti
Zeti
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit untuk dana unit amanah utamanya iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Bayaran itu merangkumi agihan pendapatan sebanyak 3.50 sen seunit dan bayaran bonus 0.75 sen seunit.

Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-30 ASB, turut diumumkan bayaran ihsan sebanyak 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama ASB yang dipegang setiap pemegang unit.

Menurut Zeti, prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain dan terus menjadi pilihan tepat bagi individu yang mempunyai profil risiko rendah dan menyasarkan horizon pelaburan jangka panjang.

Katanya, dalam persekitaran ekonomi makro yang mencabar dan pasaran kewangan yang tidak menentu pada tahun ini, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ingin mengumumkan pembayaran agihan pendapatan dan bonus berjumlah RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pemegang unit.

“Itu menjadikan jumlah agihan pendapatan dan bonus terkumpul dana tersebut sepanjang 30 tahun, sejak mula diperkenalkan pada tahun 1990 adalah sebanyak RM159.6 bilion.

“ASB mengumumkan jumlah agihan 4.25 sen seunit iaitu 3.50 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit.

“Sebagai tambahan, kesemua pemegang unit ASB akan menerima pembayaran ihsan khusus sempena Ulang Tahun ASB ke-30, sebanyak 0.75 sen seunit untuk 30,000 unit pertama mereka,” katanya selepas mengumumkan pengagihan pendapatan ASB bagi tahun kewangan 2020 secara maya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Zeti berkata, pengiraan agihan pendapatan dan bonus ASB berdasarkan baki purata minimum bulanan yang dimiliki sepanjang tahun kewangan.

“Unit yang dilaburkan semula daripada agihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke akaun pemegang unit pada 1 Januari 2021,” katanya.

Jelas beliau, prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain.

“ASB terus menjadi pilihan tepat bagi individu yang berprofil risiko rendah dan melabur untuk jangka panjang.

“Strategi kepelbagaian portfolio ASB terus mencatatkan kemajuan pada 2020, dengan peningkatan pendedahan kepada ekuiti antarabangsa, ekuiti persendirian, hartanah dan pendapatan tetap. Pelaburan aset antarabangsa meningkat kepada 5.9 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2019,” katanya.

Zeti berkata, dalam suasana turun naik pasaran global, strategi tersebut membuahkan hasil positif dengan bahagian sumbangan pendapatan kasar daripada ekuiti awam antarabangsa meningkat daripada 6.3 peratus pada 2019 kepada 24. 2 peratus bagi 2020.

Beliau berkata, dalam tahun yang terkesan dengan Covid-19, Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB sehingga November 2020 meningkat kepada RM320.5 bilion.

“Ia peningkatan sebanyak 2.7 peratus daripada tahun kewangan sebelumnya. Unit dalam edaran bagi 15 dana meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada 263.2 bilion unit dengan lebih daripada 200,000 akaun baharu didaftarkan sepanjang tahun, menjadikan jumlah keseluruhan 14.5 juta akaun dengan 12.2 juta pemegang akaun unik.

“PNB terus memberikan pulangan mampan kepada pemegang unit dengan pembayaran sebanyak RM11.2 bilion merentasi kesemua dana bagi tahun 2020 termasuk agihan pendapatan ASB ini. Ia menjadikan jumlah terkumpul agihan pendapatan PNB ialah sebanyak RM211.4 bilion,” katanya.