Pemohon i-Sinar dibimbangi jadi sasaran sindiket penipuan

Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 KWSP kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. -Foto Bernama
Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 KWSP kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim menasihatkan pemohon i-Sinar agar tidak mudah terpedaya dengan taktik golongan sindiket yang menipu mangsa dengan menawarkan pelbagai ganjaran.

Menurutnya, pemohon i-Sinar berkemungkinan besar akan dijadikan sebagai sasaran baharu kepada kumpulan penjenayah terbabit.

Katanya, organisasi sindiket terbabit beroperasi dengan menipu mangsa agar mereka melakukan transaksi wang kepada akaun sindiket berkenaan.

“Scammer akan menawarkan bermacam-macam kepada masyarakat yang mengeluarkan duit ini supaya menggandakan kewangan mereka. Macam-macam tawaran akan diberikan.

“Masyarakat perlu berhati-hati supaya tidak terpedaya kerana mereka akan mengguna berbagai cara untuk memperdaya melalui internet, telefon atau perjumpaan dan sebagainya dengan menawarkan berbagai-bagai keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata, masyarakat juga diminta untuk mengeluarkan wang simpanan daripada akaun mereka jika diperlukan sahaja bagi mengelakkan pembaziran.

Menurutnya, orang ramai seharusnya bijak memanfaatkan permohonan i-Sinar dan menggunakannya hanya untuk hal-hal kecemasan.

“Pastikan bahawa pengeluaran itu dilakukan dan dibelanjakan kepada perkara-perkara yang perlu sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Maknanya tidak ambil duit itu dan beli macam-macam dan sebagainya sehingga membawa kepada kerugian ataupun pembaziran,” katanya.

Terdahulu, permohonan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mula dibuka secara dalam talian dengan melibatkan dua kategori kriteria kelayakan pemohon membabitkan lapan juta ahli.

Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam akaun satu boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.