Banjir gelombang kedua di Kelantan makin pulih

Orang ramai mengambil peluang melihat keadaan air bah di pekan Rantau Panjang. - Foto Bernama
Orang ramai mengambil peluang melihat keadaan air bah di pekan Rantau Panjang. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Banjir gelombang kedua di negeri ini semakin baik walaupun sebanyak 911 mangsa masih ditempatkan di 11 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas setakat ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 7 malam Selasa, seramai 342 keluarga masih berada di PPS dan yang paling ramai ialah di PPS Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 iaitu melibatkan 201 orang dari 58 keluarga.

PPS lain ialah Sekolah Kebangsaan Kubang Kual pula seramai 134 orang, Sekolah Kebangsaan Tok Deh (118) Putat Tujoh (42), SK Gual Tinggi (154), SK Kampung Rahmat (14), Dewan Rukun Tetangga Lubok Stol (7), SK Kiambang (33), SK Bakong (85), SK Kedai Tanjong (110) dan SMA Kampung Bongor (13).

"PPS Tanah Merah dan Kuala Krai ditutup sepenuhnya hari ini (Selasa)," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, untuk catatan paras air harian, sehingga jam 6 petang tadi, Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi paras bahaya iaitu 10.09 meter berbanding paras bahaya 9.00, manakala di Kuala Jambu juga sama iaitu 2.78 meter berbanding paras bahaya 2.50.

"Sungai Lebir di Tualang mencatatkan bacaan melebihi paras jaga-jaga iaitu 27.13 meter (jaga-jaga 27.00), manakala enam sungai lain masih berada di paras normal.

Enam sungai tersebut adalah Sungai Galas di Dabong mencatatkan 29.18; Sungai Kelantan di Tangga Krai 19.48 meter; Jambatan Guilemard 11.58 meter dan Tambatan DiRaja 2.43 meter.

"Sungai Golok di Jenob juga di paras normal iaitu 20.23 meter dan Sungai Semerak di Pasir Puteh iaitu 0.78 meter," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: