824 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan

Keadaan banjir di Kampung Serdang dan Kampung Delong di Dungun. Foto: Ihsan Bomba Dungun
Keadaan banjir di Kampung Serdang dan Kampung Delong di Dungun. Foto: Ihsan Bomba Dungun
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 824 mangsa banjir daripada 211 buah keluarga masih ditempatkan di tujuh buah pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan dua daerah iaitu Dungun dan Kemaman.

Sehingga jam 6 petang pada Selasa, seramai 657 mangsa daripada 160 buah keluarga masih berada di tiga buah PPS di Kemaman iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, SK Kg Baru Kerteh dan SK Bukit Mentok.

Terdapat 167 mangsa daripada 51 buah keluarga masih berada di empat buah PPS di Dungun iaitu di Dewan Sivik Paka, Dewan Orang Ramai Paya Kemudi, Dewan Masjid Kg Serdang dan SK Delong.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, terdapat mangsa banjir di daerah Dungun yang terpaksa tinggal di PPS memandangkan kediaman yang dinaiki air mengambil sedikit masa untuk pulih.

"Gelombang keempat banjir di Terengganu kini dilihat semakin pulih dengan penurunan drastik jumlah mangsa di pusat pemindahan pada Selasa.

"Bagaimanapun terdapat lagi mangsa yang belum dibenarkan pulang ekoran kawasan kediaman masih lagi dinaiki air dan mengambil masa untuk surut. Sekiranya keadaan bertambah baik mereka boleh pulang dalam tempoh sehari, dua lagi," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun gelombang keempat banjir dilihat beransur pulih pihaknya sentiasa bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan banjir yang melanda sepanjang musim tengkujuh ini.

Artikel Berkaitan: