Covid-19: Kes terus meningkat, 2,062 kes positif hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bilangan kes baharu positif Covid-19 di negara ini mencatatkan angka melebihi 2,000 kes selama dua hari berturut-turut bermula Isnin.

Sebanyak 2,062 kes dilaporkan pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini sebanyak 97,389 kes.

"Jumlah kes aktif pula 17,646 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 1,204 kes (59.7 peratus).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,115 kes (92.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Menurutnya, Johor merekodkan sebanyak 278 kes (13.8 peratus) dan Sabah yang melaporkan sebanyak 247 kes (12.2 peratus).

"Negeri Sembilan mempunyai sebanyak 57 kes baharu hari ini, selain Pulau Pinang (23) dan Perak (17) kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, Melaka mencatatkan sembilan kes, selain Pahang (6), Kedah (5) dan Kelantan (4).

"Labuan dan Putrajaya masing-masing merekodkan dua kes," katanya.

Menurutnya, sebanyak 120 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen.

"Kluster Tembok Gajah melaporkan 88 kes, manakala Kluster Penjara Jalan Harapan (24), Kluster Penjara Sandakan (3), Kluster Penjara Seberang Perai (3) dan Kluster Tembok (2)," katanya.

Sehingga kini, katanya, terdapat sebanyak 111 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian Covid-19 pada hari ini (Selasa) menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 439 kes," katanya.

Sementara itu, katanya, bilangan kes sembuh Covid-19 adalah 911 kes.

"Jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 79,304 kes iaitu 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.