X

Kindly register in order to view this article
!

150,000 murid bakal terima peranti daripada KPM

Sejumlah 150,000 murid yang layak dari 500 sekolah bakal menerima peranti yang sesuai untuk membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian. Gambar hiasan fail Bernama.
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 150,000 murid yang layak dari 500 sekolah bakal menerima peranti yang sesuai untuk membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, kementerian sedang memperincikan kriteria murid dan sekolah yang bakal menerima peranti menerusi program rintis yang dijalankan Yayasan Hasanah.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Yayasan Hasanah yang merupakan sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Bhd setelah senarai itu dimuktamadkan.

“Selain membantu murid dan sekolah yang memerlukan, tujuan program rintis ini adalah untuk mendapatkan kaedah pelaksanaan yang terbaik sebelum dicadangkan untuk perluasan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara pada Selasa.

Beliau berkata, pada masa sama, untuk memastikan murid yang tidak mempunyai peranti dan akses internet tidak ketinggalan dalam pembelajaran, KPM turut memperkasakan kembali TV Pendidikan.

Ini termasuk langkah terbaharu menambah siaran TV Pendidikan menerusi saluran NTV7 pada 23 November lepas selama tiga jam yang menjadikan keseluruhan siaran TV Pendidikan ialah selama sembilan jam sehari.

Sebelum ini, KPM memperkenalkan TV Pendidikan pada 6 April lepas menerusi saluran TV Okey RTM selama dua jam dan Tutor TV Astro selama empat jam.

Muslimin berkata, siaran TV Pendidikan dapat membantu murid berkeperluan khas (MBK) dan sehingga kini, sebanyak 30 bahan video pembelajaran untuk MBK kategori kurang upaya pendengaran peringkat sekolah rendah dan menengah telah dihasilkan.

Katanya, pada masa sama, sebanyak 1,300 rakaman rancangan TV Pendidikan yang mempunyai jurubahasa kod tangan turut disediakan untuk tayangan di saluran terlibat. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!