PTPTN terima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan 2019

Ahmad Dasuki (kiri) menerima Sijil AKKP Tahun 2019 daripada Syarifuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PTPTN pada Isnin.
Ahmad Dasuki (kiri) menerima Sijil AKKP Tahun 2019 daripada Syarifuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PTPTN pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) 2019 daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) Jabatan Perdana Menteri.

Ia sebagai mengiktiraf tadbir urus keselamatan perlindungan terbaik PTPTN yang mencapai penarafan cemerlang lima bintang.

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, penyampaian sijil AKKP itu disempurnakan Pengarah CGSO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Syarifuddin Palawa kepada Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid di Menara PTPTN dan disiarkan secara dalam talian menerusi akaun Facebook PTPTN.

Ahmad Dasuki berkata, anugerah itu adalah mengiktiraf komitmen PTPTN mempamerkan tadbir urus keselamatan perlindungan terbaik dengan mencapai penarafan cemerlang iaitu lima bintang.

“Pengiktirafan ini adalah satu penghargaan yang besar dan bermakna bagi pihak kami kerana ia membuktikan PTPTN sentiasa mengamalkan tadbir urus terbaik bagi memastikan keselamatan perlindungan dari segi keselamatan fizikal, keselamatan dokumen dan kerahsiaan maklumat terutama dokumen rahsia rasmi dan keselamatan peribadi.

"Adalah menjadi keutamaan kita bagi memastikan keselamatan aset dan maklumat terjamin sepenuhnya pada setiap masa dengan pelaksanaan langkah keselamatan yang sewajarnya.

"Susulan pencapaian yang membanggakan ini, PTPTN akan terus komited memberi penekanan pada aspek keselamatan perlindungan secara menyeluruh iaitu keselamatan dokumentasi, aset serta keselamatan dan kesihatan pekerja,” katanya di sini pada Isnin.

Ahmad Dasuki berkata, PTPTN juga sentiasa peka terhadap dasar dan pelaksanaan langkah keselamatan dengan mematuhi arahan keselamatan yang digubal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Syarifuddin berkata, proses mendapatkan pengiktirafan tersebut bukan mudah dan penarafan dibuat hasil program Inspektorat Keselamatan Perlindungan yang dilaksanakan di PTPTN.

“Status penarafan ini diberi berdasarkan penilaian semua pembuktian yang telah dikemukakan semasa inspektorat. Kriteria yang diambil kira untuk melayakkan pengiktirafan ini ada empat perkara iaitu keselamatan umum, keselamatan fizikal, keselamatan dokumen dan keselamatan personal.

“PTPTN adalah antara jabatan dan agensi kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mencapai penarafan cemerlang lima bintang daripada 10 agensi yang terpilih,” katanya.