PKR rangka strategi baharu hadapi PRN Sarawak

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan merangka strategi baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dengan mengambil kira situasi politik semasa di negeri itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, PKR juga akan berusaha memperkukuh dan mempersiapkan jentera akar umbi untuk menghadapi PRN dalam keadaan normal baharu.

"Umum sedia maklum PRN Sarawak semakin hampir. Oleh itu, Keadilan (PKR) akan merangka beberapa strategi mengambil kira keadaan politik semasa.

"Di samping berusaha memperkukuh dan mempersiapkan jentera akar umbi untuk menghadapi PRN dalam keadaan normal baharu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas andaian sesetengah pihak mendakwa PKR Sarawak kini goyah susulan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak pada Isnin.

Wei Shien yang dilantik memegang jawatan itu pada Mac lalu berkata, ia adalah keputusan terbaik bagi PKR Sarawak yang sepatutnya diketuai pemimpin suku kaum Dayak bagi menghadapi PRN Sarawak ke-12.

ARTIKEL BERKAITAN: Cadang pemimpin Dayak terajui PKR Sarawak

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Wei Shien telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada kepimpinan parti, namun perbincangan mengenai situasi semasa di negeri itu akan dibincangkan dalam masa terdekat ini.

Artikel Berkaitan:

"Larry (Wei Shien) telah berhubung dengan pimpinan parti untuk berbincang tentang isu-isu terkini melibatkan PKR Sarawak khusus berkenaan persiapan menjelang PRN Sarawak.

"Beliau mempunyai beberapa pandangan yang akan diperhalusi dalam perbincangan lanjut. Insya-ALLAH akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang menyifatkan tindakan Wei Shien yang mahu pemimpin Dayak diangkat menerajui kepimpinan parti menjelang PRN sudah agak terlambat.

Beliau berkata, usaha itu hanya akan merencat dan mengeruhkan keadaan menjelang PRN yang dijangka diadakan kurang lapan bulan dari sekarang.

"Tidak hairanlah dengan berita ini, PKR sekarang kucar-kacir, baik di peringkat nasional ataupun Sarawak.

"Sudah terlambat untuk mereka mengubah sistem pemerintahan sekarang kerana pilihan raya sudah dekat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Vendor Sarawak Energy (SEVA) 2020 pada Isnin.