Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Maybank

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Malayan Banking Berhad (Maybank) bagi merayu untuk mencabar notis taksiran kurangan bagi Tahun Taksiran 2014 dan notis taksiran tambahan bagi Tahun Taksiran 2015, 2016 dan 2017 yang dibangkitkan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN).

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam satu kenyataan berkata, keputusan penolakan tersebut dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat setelah mendengar hujahan daripada LHDNM dan Maybank.

Menurut LHDNM, Timbalan Peguamcara Hasil, Dr Hazlina Hussain yang mewakili KPHDN menghujahkan bahawa tidak wujud elemen tidak sah, kesalahan undang-undang dan keadaan luar biasa yang membolehkan permohonan semakan boleh dibenarkan dan perkara terbabit jelas dibuktikan melalui prinsip yang diputuskan kes-kes terdahulu.

“Sebagai tambahan, peguam yang mewakili pemohon (Maybank) tidak dapat meyakinkan panel hakim bahawa wujudnya elemen tidak sah, kesalahan undang-undang yang dibuat oleh KPHDN dalam membangkitkan taksiran dan terdapat keadaan luar biasa yang membolehkan kebenaran semakan kehakiman diberikan,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, kesan daripada itu juga, pemohon tidak berjaya untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman terhadap KPHDN bagi membatalkan notis-notis taksiran yang dibangkitkan dan notis yang dibangkitkan itu adalah betul.

“Mahkamah turut mengarahkan pemohon untuk membayar keseluruhan jumlah cukai tertunggak kepada KPHDN dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: