Covid-19: Vaksin penting untuk lindungi diri, masyarakat

Pengambilan vaksin tidak hanya bermanfaat untuk melindungi diri tetapi juga dapat membantu individu lain yang tidak mampu mengambilnya.
Pengambilan vaksin tidak hanya bermanfaat untuk melindungi diri tetapi juga dapat membantu individu lain yang tidak mampu mengambilnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengambilan vaksin tidak hanya bermanfaat untuk melindungi diri tetapi juga dapat membantu individu lain yang tidak mampu mengambilnya, kata Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata terdapat sesetengah orang yang tidak dibenarkan menerima suntikan vaksin disebabkan alahan terhadap bahan-bahan tertentu.

"Sesetengah vaksin dibangunkan untuk kumpulan tertentu, umpamanya untuk Covid-19. Setakat ini, ujian klinikal hanya dilakukan kepada orang dewasa dan tidak kepada ibu mengandung. Ibu mengandung tidak boleh mengambil vaksin buat masa ini kerana tiada data untuk mereka.

"Tapi kalau hampir 90 peratus penduduk sudah mengambil vaksin tersebut, insya-Allah... 10 peratus yang tidak mengambil vaksin turut dapat dilindungi," katanya pada program terbitan Nasional FM yang membincangkan topik 'Vaksin Dalam Kehidupan'.

Sama seperti program imunisasi kanak-kanak, beliau berkata, penularan jangkitan penyakit dalam golongan itu dapat dikawal disebabkan pengambilan vaksin.

Dr Lokman Hakim berkata, setiap vaksin yang dihasilkan perlu melalui fasa pembangunan yang teliti demi keselamatan penerima.

Katanya, kaedah teknologi konvensional boleh digunakan bagi penghasilannya iaitu mengguna pakai teknologi pembangunan vaksin yang telah digunakan untuk vaksin lain sebelum ini.

"Kita dah tahu proses, tahu bagaimana nak buat vaksin seperti influenza, campak, hepatitis, jadi pihak industri hanya menumpukan kepada teknologi konvensional dan menukarkan agen virus tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bermakna, selain digunakan untuk hepatitis, digunakan untuk Covid-19 dengan teknologi sedia ada. Itu sebabnya vaksin boleh dihasilkan dengan cepat," katanya.

Memetik kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Lokman Hakim berkata, walaupun keberkesanan vaksin hanya berada pada tahap 50 ke 60 peratus sahaja, tetapi ia sangat berguna dalam menangani pandemik, serta boleh mengurangkan separuh daripada kadar jangkitan dan kematian.

"Itu bermakna beban pada rakyat dan negara dapat dikurangkan separuh, dan separuh lagi sama-samalah kita tangani dengan kaedah cara hidup baharu dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Dr Lokman Hakim berkata, masalah penularan Covid-19 bukan disebabkan aktiviti masyarakat tetapi tingkah laku mereka semasa melakukan aktiviti.

Justeru, penekanan kepada rakyat untuk faham dan urus risiko adalah penting bagi memastikan penularan jangkitan dapat dielakkan.- Bernama