Penganjuran kejohanan dalaman bantu tingkat prestasi pemain remaja

Barisan pemain dan jurulatih remaja kebangsaan bergambar selepas tamat Kejohanan Berpasukan Campuran di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
FOTO: FB BAM
Barisan pemain dan jurulatih remaja kebangsaan bergambar selepas tamat Kejohanan Berpasukan Campuran di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. FOTO: FB BAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran kejohanan dalaman seperti Kejohanan Remaja Berpasukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara yang berakhir Jumaat lepas, berjaya meningkatkan kecergasan serta intensiti pemain remaja negara ketika berada di gelanggang.

Pengarah Pembangunan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek berkata, penganjuran kejohanan lain seperti Kejohanan Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan dan Kejohanan ‘Playoff’ 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan pada awal bulan lalu juga berjaya membantu mengurangkan jurang permainan pemain remaja negara.

Beliau mengakui modul latihan yang diterapkannya ke atas skuad remaja negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berjaya memantapkan ketahanan serta kemahiran individu dalam kalangan mereka.

“Inilah objektif kita mahu. Ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sedang merancang macam mana nak adakan latihan untuk pemain bila mereka datang.

“Jadi daripada keseluruhan objektif kita mahu, semuanya pada saya tercapai... yang penting keseronokan dan prestasi mereka. Keputusan yang terhasil oleh pemain itu atas hasil usaha mereka dan barisan kejurulatihan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan BAM pada Ahad.

Beliau bagaimanapun mengingatkan barisan pemain remaja negara supaya terus mengekalkan kecergasan masing-masing, setelah diberi cuti pendek bermula Selasa ini (22 Disember) sebelum kembali melapor diri pada 4 Januari depan.

Skuad remaja negara tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa pada tahun ini, antaranya Kejohanan Remaja Asia dari 11-14 Julai di Suzhou, China, serta Kejohanan Remaja Dunia 2020 dari 18-24 Januari 2021 di Auckland, New Zealand yang terpaksa dibatalkan susulan penularan pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: