Pas buka pintu untuk disiasat lebih daripada 24 jam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menyiasat parti itu berhubung dakwaan kes dana RM90 juta yang diterima Pas.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad, berkata malah Pas akan membuka pintu untuk disiasat lebih daripada 24 jam.

"Insya-ALLAH Pas membuka 25 jam sehari untuk SPRM menyiasat akaun Pas.

"Kita akan memberi kerjasama bukan 24 jam tapi 25 jam sehari untuk disiasat," katanya ringkas kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat kes Pas terima dana RM90 juta

Katanya, memang menjadi hasrat Pas untuk mengalu-alukan siasatan terhadap parti itu, bagi membuktikan bahawa Pas tidak menyembunyikan apa-apa salah laku.

"Saya tidak boleh komen panjang sebab ia akan membabitkan mahkamah, dalam isu ini kita memang setuju untuk disiasat.

"Kerana dulu kata SPRM ini bawah Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang di bawah PH, isu RM90 juta ini bukan angka kecil, tak akan nak bawa dengan lori duit sebanyak itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan pihaknya akan memulakan siasatan berhubung kes dana RM90 juta yang diterima Pas.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia telah dirujuk kepada agensi itu.

Ia susulan dakwaan wang sebanyak RM90 juta yang disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dikatakan dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas, dan SPRM mengesahkan telah menerima laporan yang disalurkan oleh PDRM, semalam.

Selasa lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menarik balik tuntutan sama terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Tindakan itu diambil selepas Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman tersebut di luar mahkamah, dalam kes yang difailkan di London.

Pada 21 April 2017, Abdul Hadi memafailkan saman fitnah terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London berhubung laporan berita Sarawak Report yang dimuatnaik pada 6 Ogos 2016.

Dalam laporan tersebut, Presiden Pas itu didakwa menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti bagi menyokong BN dan Umno.