‘Elok kalau kurang bercakap’

ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA
A
A
A

TANJUNG MALIM - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menasihatkan agar tiada lagi kenyataan terbuka dilakukan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, ia bagi mengelakkan berlakunya pelbagai persepsi hingga boleh menimbulkan kekeliruan terutama dalam kalangan parti Perikatan Nasional (PN) itu sendiri.

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu akan melalui tiga peringkat dan hanya Majlis Presiden akan membuat keputusan muktamad selepas menerima laporan daripada Sekretariat Setiausaha-Setiausaha Agung.

“Kita mempunyai tiga peringkat iaitu pertama kita ada Majlis Presiden yang akhirnya boleh dibincangkan dan dimuktamadkan di situ namun, di bawah Majlis Presiden, presiden-presiden telah bersetuju membentuk Sekretariat Setiausaha-Setiausaha Agung. Itu lapisan kedua yang membolehkan kita membantu pengerusi-pengerusi dan presiden-presiden. Di peringkat ketiga, Pas, Umno dan Bersatu, telah bersetuju untuk membentuk jawatankuasa perunding yang terdiri daripada tujuh orang wakil setiap parti.

"Jadi sekarang kita baru ada di peringkat ini dan sekiranya telah siap, ia akan dibawa ke peringkat sekretariat yang kemudiannya disampaikan kepada Majlis Presiden,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) ke-28 di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River pada Ahad.

Annuar ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti IPF di Slim River pada Ahad.
Annuar ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti IPF di Slim River pada Ahad.

Hadir sama, Presiden IPF Malaysia, Datuk T Loganathan dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Artikel Berkaitan:

Annuar berkata, perbincangan itu sehingga kini masih lagi di peringkat jawatankuasa perunding antara Pas, UMNO dan Bersatu.

“Apabila ramai sangat orang yang bercakap kemudian dia bercakap tidak beri secara terperinci maka berlaku tafsiran dan juga persepsi. Saya rasa elok kalau itu boleh dikurangkan.

“Sistem (pembahagian kerusi) itu agak tersusun jadi kalau ada terlalu ramai yang tidak berkuasa membuat kenyataan, itu boleh menimbulkan kekeliruan. Setakat ini dalam keadaan terkawal dan baik,” katanya.