PRN: Pembahagian kerusi sudah selesai, tinggal umum sahaja

Rafiei
Rafiei
A
A
A

SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sudah memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.

Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, mereka juga sudah membuka bilik gerakan sejak pertengahan bulan Mei lepas.

"Soal kerusi sudah selesai, jadi terpulang kepada pucuk pimpinan parti komponen masing-masing memuktamadkan calon pula.

"Kami sudah bersedia lama dan menunggu DUN bubar sahaja kemudian kita mulakan kempen yang sebenar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan, Eddin Syazlee memaklumkan PN Negeri Sembilan menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan sekali gus membolehkan PN membentuk kerajaan negeri.

Jelas Eddin Syazlee, meskipun bukan perkara mudah, dengan usaha barisan kepimpinan yang komited selain kemenangan di kerusi Parlimen Padang Serai kepada PN baru-baru ini memberi isyarat bahawa perkara itu tidak mustahil untuk dicapai.

Dalam pada itu ditanya mengenai pengguguran Datuk Eddin Syazlee Shith sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Negeri Sembilan, Rafiei berkata, ia tidak menjejaskan perancangan dan gerak kerja yang sudah disusun serta dilaksanakan bersama Eddin Syazlee sebelum ini untuk PRN.

"Beliau masih terlibat dalam memastikan usaha berkenaan berjalan lancar dan saya keputusan yang dibuat oleh pucuk kepemimpinan PN berhubung pertukaran jawatan itu adalah sebagai persiapan menghadapi PRN," katanya.