Kesan salah guna dadah menerusi imbasan anak mata

Md Razif (kiri) sambil disaksikan Zulkifli (dua dari kiri) dan Ahmad Kushairy melihat alat Instant Visual Drug Detector yang bakal digunakan bagi mengesan penyalahgunaan dadah terhadap individu.
Md Razif (kiri) sambil disaksikan Zulkifli (dua dari kiri) dan Ahmad Kushairy melihat alat Instant Visual Drug Detector yang bakal digunakan bagi mengesan penyalahgunaan dadah terhadap individu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengesan penyalahgunaan dadah menerusi imbasan anak mata.

Itu kaedah bakal digunakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menerusi projek perintis dengan kerjasama pihak swasta bagi mengesan penyalahgunaan dadah terhadap individu dengan menggunakan alat Instant Visual Drug Detector (IVDD 2.0).

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, alat tersebut menjadi alternatif kepada ujian saringan air kencing yang biasa dijalankan untuk mengesan penyalahgunaan dadah ke atas individu yang disyaki sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya terlibat sama dalam menguji alat tersebut bagi mengenal pasti keberkesanan peralatan yang ditaja oleh syarikat Nyla Sdn Bhd.

“Alat pengesan penyalahgunaan dadah ini digunakan sebagai ujian 'pilot project' bagi mengesan penyalahgunaan dadah terhadap seseorang individu melalui sensor yang mengimbas anak mata.

“Kita berharap teknologi ini dapat memberikan hasil yang memuaskan sekali gus mewujudkan kaedah ujian pengesanan dadah yang kurang mengganggu (less instrusive),” katanya pada Program Inisiatif Pihak Korporat Bersama AADK Untuk KL Sejahtera di Bukit Bintang pada Ahad.

Hadir sama Pengarah AADK Wilayah Persekutuan, Md Razif Wan yang menerima tajaan alat IVDD 2.0 itu daripada Pengerusi Nyla Sdn Bhd Ahmad Kushairy Abd Ghani.

Terdahulu, Zulkifli berkata, Program Insiatif Korporat Bersama AADK itu dilaksanakan bagi mencapai objektif menjadikan Bandaraya Kuala Lumpur Sejahtera sekali gus mengurangkan permasalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isu permasalahan dadah kini menjadi semakin kompleks dari masa ke masa melibatkan pelbagai peringkat masyarakat.

Katanya, tidak kiralah sama ada mereka yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) ataupun di kawasan elit, kesemuanya tidak ‘kebal’ terhadap permasalahan dadah.

“Ia bukan satu perkara yang boleh diselesaikan dengan hanya satu cara. Permasalahan dadah bukanlah masalah satu pihak sahaja tetapi juga merupakan masalah kita semua.

“Pendekatan berbentuk kolaboratif pelbagai pihak perlu diperluaskan bukan setakat hanya penglibatan jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahkan pihak di sektor swasta dan badan korporat juga perlu sama-sama mengambil langkah proaktif mewujudkan masyarakat sejahtera serta bebas daripada pelbagai masalah,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap lebih banyak syarikat swasta atau badan korporat dapat memainkan peranan bersama-sama dengan lebih giat terutamanya dalam menangani permasalahan dadah.

Katanya, ia berikutan syarikat swasta atau badan korporat dilihat mempunyai keupayaan, kemahiran dan sumber kepakaran teknologi melaksanakan pelbagai inisiatif membantu mewujudkan masyarakat lebih sejahtera.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada syarikat Nyla Sdn Bhd kerana melihat isu pelencongan sosial dan penyalahgunaan dadah ini sebagai isu yang perlu ditangani secara bersama.

“Saya difahamkan pihak Nyla Sdn Bhd juga bekerjasama dengan AADK Kuala Lumpur dalam penayangan video kempen antidadah di skrin LED di beberapa lokasi utama di Kuala Lumpur,” katanya.