Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang

Salah sebuah kediaman yang dijilat api dalam kejadian di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu semalam. Foto Ihsan pembaca
Salah sebuah kediaman yang dijilat api dalam kejadian di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu semalam. Foto Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus dalam kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Kampung Beladau Kolam di sini petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira kira jam 6.30 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Salah seorang mangsa, Abdul Halim Jaafar, 37, berkata, ketika kejadian beliau berada di sangkar ikan miliknya yang tidak jauh dari kediamannya.

Menurutnya, beliau mengetahui kejadian itu selepas dihubungi anaknya.

"Dari jauh memang dapat nampak kepulan asap dan tidak sangka rumah saya yang terbakar.

"Saya bergegas balik dan terus masuk ke rumah untuk mencari anak-anak, namun tidak jumpa. Tidak lama selepas itu, jiran beritahu dua anak saya yang berumur dua dan 12 tahun sudah diselamatkan," katanya.

Razman Razak
Razman Razak

Seorang lagi mangsa, Razman Razak, 43, berkata, walaupun semua barangan dalam rumahnya hangus terbakar, namun beliau bersyukur isteri dan dua anaknya terselamat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau hanya sempat menyelamatkan ahli keluarga dan mengalihkan kereta.

"Barang-barang lain tidak sempat diselamatkan dan semuanya hangus terbakar," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Shahril Abdul Halim berkata, seramai 26 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pada jam 6.34 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, tiga buah rumah sedang marak terbakar di mana salah sebuah daripadanya terbakar seratus peratus.

"Kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya tiga jam kemudian.

"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.