Polis dedah 48 modus operandi penipuan di Terengganu

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mendedahkan beberapa taktik dan modus operandi yang sering digunakan untuk kesalahan penipuan di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, antara modus operandi yang sering digunakan adalah tawaran kosmetik untuk memikat lelaki dan pemadaman gambar lucah di laman web.

Menurutnya, kedua-duanya itu tidak pernah wujud dan ia termasuk 48 modus operandi lain-lain kes penipuan dilaporkan sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.

"Ada juga laporan yang dibuat seperti tawaran tender pembekalan minyak soya yang tidak wujud (1 kes), tawaran cara hendak lari hutang bank dan ubahsuai yang tidak sah (1 kes) selain tawaran cubaan cara menunaikan cek syarikat menggunakan tandatangan palsu (2 kes).

"Bagi kes penipuan ini, ada juga mangsa terkena dengan tawaran jualan motosikal yang tidak wujud (3 kes), perdaya mangsa dengan menukar wang not RM100 (1 kes) dan urusan pertukaran atau penempatan kerja yang tidak wujud (1 kes)," katanya.

Menurut Aidi, laporan mengenai penipuan dengan cara menawarkan bayaran wang jual beli dan penghantaran minyak jagung dari Ukraine yang tidak wujud selain menipu dengan cara menyamar sebagai pelanggan untuk mengambil alat ganti kenderaan di bengkel juga ada diterima.

"Terdapat juga mangsa penipuan yang diperdaya dengan tawaran tiket kapal terbang tambang murah ke luar negara yang tidak wujud (1 kes), diperdaya urusan timbangan kotak terpakai untuk mendapatkan keuntungan peribadi (1 kes) dan deposit rumah diiklan untuk disewa dalam laman web tidak wujud (1 kes).

"Tawaran rumah mampu milik yang tidak wujud juga ada dilaporkan selain penyamaran sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Marang kononnya menawarkan projek yang tidak wujud (1 kes)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aidi berkata, sepanjang 2018, sejumlah 618 kertas siasatan kes penipuan dibuka dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 198 kes berjaya dituduh di mahkamah yang sekaligus merekodkan pencapaian 32 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.