Memodenkan sistem pembetungan di Kelantan

Ahmad (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Tuan Ibrahim.
Ahmad (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Tuan Ibrahim.
A
A
A

KOTA BHARU - Penyerahan perkhidmatan pembetungan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd akan membuka ruang kepada penglibatan yang lebih signifikan kerajaan dalam memodenkan sistem pembetungan di Kelantan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bermula 1 Januari tahun depan, operasi dan perkhidmatan pembetungan awam negeri Kelantan akan diserahkan kepada IWK yang juga sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan.

Menurutnya, sebelum ini perkhidmatan berkenaan dijalankan oleh Majaari Services Sdn Bhd (Majaari) sebuah syarikat milik kerajaan Kelantan.

“Penyerahan ini adalah untuk menyeragamkan operasi perkhidmatan pembetungan di seluruh negara selain memastikan air sisa kumbahan yang dirawat mencapai tahap piawaian tinggi khususnya dalam usaha pemuliharaan sumber air serta alam sekitar.

“Melalui penyerahan ini sebanyak 33 loji rawatan kumbahan awam serta 13 stesen pam akan diselenggara oleh IWK dan pada masa sama akan menyediakan perkhidmatan menyahenap cemar kepada kira-kira 81,275 tangki septik individu serta 259,343 tangki tradisional di seluruh Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis Menandatangani dan Penyerahan Dokumen Perkhidmatan Sistem Pembetungan Awam di Kelantan antara Majaari Services Sdn Bhd (Majaari) kepada Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd di sini.

Tuan Ibrahim (lima dari kanan) bersama Ahmad (enam dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen pengambilalihan pengurusan perkhidmatan pembetungan oleh IWK daripada Majaari di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Tuan Ibrahim (lima dari kanan) bersama Ahmad (enam dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen pengambilalihan pengurusan perkhidmatan pembetungan oleh IWK daripada Majaari di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Beliau turut menyaksikan majlis tandatangan memorandum persefahaman antara IWK dan Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM) Holdings Sdn Bhd merupakan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengarah Eksekutif Majaari, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam dan Pengarah Eksekutif KUM Holdings Sdn Bhd, Abdul Rashid Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut memaklumkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengenalpasti pembangunan sebuah loji rawatan kumbahan berpusat di Tunjong yang bernilai lebih RM0.5 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Katanya, dana akan turut disalurkan bagi kerja-kerja membaikpulih loji-loji dan rangkaian paip pembetungan yang telah uzur bagi memastikan rakyat Kelantan terus menikmati perkhidmatan pembetungan berkualiti.

“Saya yakin dengan kepakaran dan kemahiran IWK, serta sokongan kementerian, SPAN dan Jabatan Alam Sekitar, usaha untuk memodenkan sistem pembetungan di Kelantan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, IWK akan mengambil alih aset-aset Majaari termasuk menyerapkan 50 kakitangannya selain syarikat tersebut akan menggunakan kepakaran dalaman untuk melaksanakan kajian tadahan sistem pembetungan serantau untuk keseluruhan negeri Kelantan dengan unjuran selama 30 tahun.

Katanya juga, selepas penyerahan itu, IWK akan menguruskan perkhidmatan pembetungan awam di 101 kawasan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

“Sejak Perjanjian Konsesi antara kerajaan Persekutuan dan IWK ditandatangani pada 1993, kerajaan amat komited untuk memastikan seluruh rakyat di negara ini mendapat perkhidmatan pembetungan yang moden dan efisien.

“Sistem pembetungan yang bersepadu dan moden amat penting kerana kerajaan perlu memastikan sumber air dipelihara demi melindungi kesihatan awam serta mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat selain menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ahmad menyambut baik pengambil alihan tersebut kerana selain dapat menaiktaraf aset sistem pembetungan di Kelantan ia juga memberi ruang kepada kontraktor tempatan untuk bekerjasama dengan IWK.

“Kita mengharapkan dengan termetrinya penyerahan ini akan dapat meningkatkan kualiti pengurusan perkhidmatan pembetungan di negeri ini yang sekaligus memanfaatkan rakyat,” katanya.