X

Kindly register in order to view this article
!

YBR bantu keluarga hadapi persiapan persekolahan sesi 2021

Dari kanan Zakaria, Johan dan Mohd Fauzi bergambar bersama penerima sumbangan YBR di Dewan Orang Ramai Blok N, Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma, Semenyih pada Jumaat.
A
A

SEMENYIH - Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menyumbangkan RM75,000 kepada 500 murid sekolah rendah dan menengah sekitar Semenyih dan Dusun Tua bagi membantu persiapan mereka menempuh sesi persekolahan 2021.

Pemangku Pengurus Besar YBR, Mohd Fauzi Md Fadhli berkata, bantuan persekolahan berupa set baju, kasut dan beg sekolah bernilai RM150 itu disumbangkan kepada setiap murid dalam keluarga B40.

Menurutnya, sumbangan tersebut diharap dapat meningkatkan minat mereka untuk hadir ke sekolah dan sebagai pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.

Tambahnya, bantuan ini diinspirasikan melalui penerapan elemen pembelajaran menyeronokkan bagi memastikan murid-murid sentiasa gembira ke sekolah, sekali gus melahirkan insan yang seimbang dari segenap sudut.

Majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Orang Ramai Blok N, Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma, di sini pada Jumaat disempurnakan oleh ADUN Semenyih, Zakaria Hanafi, dan wakil penduduk Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz.

Dalam pada itu, Johan menyambut baik inisiatif pihak YBR yang membantu meringankan beban keluarga B40 di Dusun Tua.

"Kita mendengar keluhan masyarakat yang terbeban dengan pandemik Covid-19 yang banyak menjejaskan sumber pendapatan mereka.

"Saya syorkan sumbangan sebegini diteruskan ke kawasan-kawasan yang termasuk dalam PKPB kerana ada antara mereka yang tidak dapat mencari rezeki," katanya.

Nur Hidayah bersama anaknya Nur Erwina Nadrah Athirah bersyukur menerima sumbangan YBR.
Nur Hidayah bersama anaknya Nur Erwina Nadrah Athirah bersyukur menerima sumbangan YBR.

Salah seorang penerima bantuan, Nur Hidayah Abdul Ghalim, 29, berterima kasih kepada YBR kerana membantu meringankan beban untuk persiapan persekolahan anaknya.

Anaknya, Nur Erwina Nadrah Athirah Mohd Naqiuddin, 9, juga gembira apabila menerima bantuan berupa set baju, kasut dan beg sekolah.

"Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita saya menjadi seorang polis," katanya.

Penyerahan kedua sumbangan YBR akan diadakan pada Sabtu di Teratak Nanding, Dusun Tua, Hulu Langat sebagai usaha untuk terus membantu ibu bapa mengharungi saat sukar kesan pandemik Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!