Kesatuan dalam kepelbagaian

No Image Caption
A
A
A

PENGALAMAN saya sebagai diplomat ketika di luar negara dalam satu dekad yang lalu amat memuaskan hati kerana Malaysia dilihat oleh diplomat asing sebagai sebuah negara kepelbagaian kaum yang aman damai. Imej terbaik tentang keadaan dan suasana sekitar yang sering digambarkan dalam dunia moden ialah Unity in Diversity iaitu kesatuan dalam kepelbagaian.

Bagi manusia universal yang menghargai budaya dan tamadun alam, gambaran itu dihubungkan dengan kedinamikan negara Islam sendiri kerana dalam konteks Islam, agama merupakan pegangan hidup yang seharusnya membimbing umatnya sepanjang hayat.

Malaysia mencatatkan dasar agama dalam Perlembagaan dengan amat unik – Islam merupakan agama negara dan agama-agama lain bebas diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni.

Agama itu seharusnya dipelajari dengan penuh ilmu dan hikmah. Atas dasar itu, ukuran telah dibuat terutama oleh dunia maju tentang Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang agak terkemuka dalam bidang sains dan teknologi, perdagangan dan urusan kewangan yang tersusun, malah dalam pendidikan moden.

Ukuran yang dibuat sedekad lalu daripada pengalaman saya sendiri haruslah dimajukan dengan lebih dinamik dan bertamadun dalam arena pembangunan peradaban dunia antarabangsa yang terbaik.

Namun, keadaan kini agak membimbangkan. Beberapa perkembangan masyarakat berbilang kaum mulai terancam dengan kepelbagaian anasir yang seolah-olah ingin merosakkan tradisi kepelbagaian agama dan bangsa ketika terdapat perbezaan pemikiran dan terjemahan budaya nilai bersama dalam agenda pembangunan Malaysia.

Saya ingin memetik titah ucapan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 10 Disember 2020. Baginda menekankan tentang sejarah dan mungkin juga masalah dalam pelantikan Menteri Besar Perak yang berulang kali bahawa perkara itu 'bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan. Perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan’. Bagi saya, agak sukar baginda mengeluarkan kenyataan menghampakan itu sekiranya baginda tidak berasakan bahawa perubahan yang berlaku telah menggambarkan satu imej yang negatif. Rakyat sendiri sebenarnya dapat mencari kebenaran titah ucapan baginda.

Dalam mengamalkan agama, kebebasan dalam berhujah, malah dalam melaksanakan hukuman syariah dan prinsipnya bukanlah merupakan satu kebebasan mutlak mengikut pentafsiran individu tertentu sahaja atau kumpulan yang berpegang kepada ideologi politik tertentu semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks itu, benarlah pandangan mengatakan bahawa sekiranya diberikan kebebasan mutlak kepada segolongan penganut sesuatu agama untuk mempersoalkan akidah dan amalan penganut agama lain, maka ia seolah-olah memberi lesen yang murah kepada mereka untuk membuka gelanggang pergaduhan yang boleh membawa kepada huru-hara dan mungkin juga pertumpahan darah sesama sendiri.

Tradisi itu tetap menjadi pegangan majoriti rakyat Malaysia dan harus dipertahankan dengan penuh kejujuran. Kita seharusnya mencari titik pertemuan dan persamaan, bukan mencari titik perbezaan serta perselisihan.

Sebab itu, perbincangan tentang kumpulan politik, sosial, ekonomi, agama dan sebagainya tidak harus diwarnai dengan rasa taksub melulu sehingga merosakkan prestasi bangsa dan negara yang selama ini berintegriti serta terhormat di dunia antarabangsa.

Namun, keterbukaan dalam perbincangan itu juga haruslah dihadkan oleh sempadan tertentu terutama pada zaman dan keadaan ketika ini yang lebih mementingkan kebebasan berbicara dan bertindak yang ada ketikanya tidak terhad, sedangkan kita tetap terikat dengan prinsip agama kita yang amat jelas dan terkini.

Hal itu kelihatan amat terpelihara dengan kedudukan perundangan dan naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa tertinggi agama Islam di Malaysia, manakala Majlis Raja-Raja Melayu menjamin kesatuan dalam kepelbagaian yang merupakan dasar negara kita.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia