Pilu seorang ayah hilang tiga anak sekelip mata

Muhammad Alhafiz (baju biru) ditenangkan ahli keluarga ketika tiba di Jabatan Forensik HRPB bagi menuntut jenazah tiga anaknya hari ini.
Muhammad Alhafiz (baju biru) ditenangkan ahli keluarga ketika tiba di Jabatan Forensik HRPB bagi menuntut jenazah tiga anaknya hari ini.
A
A
A

IPOH - 'Semua dah tak ada...saya minta maaf' itu ungkapan berulang kali dikatakan Muhammad Alhafiz Mohamad, 29, bapa kepada tiga kanak-kanak lelaki yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gunung Lang pada Rabu.

Muhammad Alhafiz yang hadir menuntut jenazah anak-anaknya di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh turut kelihatan sugul kerana kerap menangis.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7, Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy berusia setahun meninggal dunia di tempat kejadian sementara isterinya, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, cedera parah dan masih menerima rawatan lanjut di hospital sama.

Ketika kejadian, empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas menghabiskan cuti di Melaka sebelum kereta jenis Perodua Axia dipandu Nur Aimi hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berada di lorong kecemasan.

Ketika ditemui pemberita, Muhammad Alhafiz berkata, beberapa hari lalu isteri dan anak-anaknya pulang ke Melaka dan mereka bercuti bersama.

Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik HRPB sebaik ketiga-tiga jenzah di bawa keluar.
Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik HRPB sebaik ketiga-tiga jenzah di bawa keluar.

"Saya bekerja di Melaka, isteri pula di Pulau Pinang, jadi memang kami PJJ (tinggal berasingan). Aimi dan anak-anak ada balik, berjumpa dengan saya dan kami bercuti bersama anak-anak," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, dia mahu keadaan isterinya itu stabil terlebih dahulu sebelum memaklumkan mengenai kematian ketiga-tiga anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan itu bukan berniat untuk merahsiakan kejadian sebenar, tetapi mengambil kira keadaan kesihatan isterinya itu ketika ini.

"Buat masa ini saya tidak akan beritahu dia kerana keadaannya. Dia akan tahu tetapi bukan sekarang.

"Sekarang bukan masa yang sesuai untuk beritahu keadaan anak-anak, malah saya sendiri pun masih tertekan," katanya.

Muhammad Alhafiz (baju biru) sebak melihat jenazah anaknya sebaik selesai proses bedah siasat hari ini.
Muhammad Alhafiz (baju biru) sebak melihat jenazah anaknya sebaik selesai proses bedah siasat hari ini.

Jenazah ketiga-tiga mangsa telah dibawa keluar dari Jabatan Forensik HRPB sebaik selesai proses bedah siasat jam 5.30 petang tadi dan jenazah mereka akan dikebumikan di Sungai Putat, Melaka malam ini.

Sementara itu, abang sulung Nur Aimi, Muhd Jazli Aiman, 31, berkata, mereka bercadang untuk memindahkan adiknya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik ke hospital di Melaka bagi rawatan lanjut.

Muhammad Alhafiz mengalirkan air mata memeluk abang iparnya, Muhd Jazli.
Muhammad Alhafiz mengalirkan air mata memeluk abang iparnya, Muhd Jazli.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada tahap kesihatan wanita itu memandangkan ketika ini masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Setakat ini kita belum dapat lagi apa-apa makluman daripada doktor. Kita harap semua dipermudahkan, jika dapat kebenaran pindah ke Melaka lagi mudah kerana dekat dengan keluarga," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu belum tahu tiga anak sudah tiada

Tiga beradik maut, ibu parah