Kekal semangat berpasukan dalam suasana mencabar

Gambar kecil: Cllement Tan
Gambar kecil: Cllement Tan
A
A
A

SEORANG ahli falsafah abad ke-19 pernah berkata, “Kapal di pelabuhan memang selamat, tetapi kapal tidak dibina untuk tujuan itu.”

Dengan kata lain, teknologi yang berpotensi tinggi tiada nilainya jika potensinya tidak dimanfaatkan.

Dalam tempoh beberapa tahun lepas, walaupun pendigitalan memang menjadi trend umum, banyak organisasi tidak pun mengutamakan penghijrahan.

Secara tiba-tiba, krisis kesihatan melanda dunia, dan segala keraguan ditenggelamkan oleh keperluan segera untuk beralih sepenuhnya kepada pendigitalan.

Belayar di perairan baharu

Dari sudut positif, gelombang pendigitalan mencetus inovasi. Organisasi dan majikan telah menerima pakai teknologi baharu, yang membawa kepada “kebiasaan baharu”.

Sememangnya, data kita menunjukkan bahawa kita telah melangkah lima tahun ke hadapan dari segi penggunaan dan pelaksanaan digital, dalam hanya lapan minggu.

Bank-bank bertukar kepada pasukan jualan dan perkhidmatan jarak jauh, kedai runcit beralih kepada pesanan dan penghantaran dalam talian sebagai kaedah perniagaan utama, sekolah-sekolah berpindah 100 peratus kepada pembelajaran dalam talian dan para pengilang menyusun rancangan untuk kilang dan rantaian bekalan tanpa tenaga manusia atau berautomasi penuh.

Artikel Berkaitan:

Senarai transformasi yang berlaku memang begitu panjang.

Walaupun amat diperlukan, perubahan seperti ini menimbulkan cabaran baharu.

Selain daripada isu-isu nyata seperti keselamatan siber dan jenayah siber, proses pendigitalan memberi kesan kepada semangat kakitangan.

Daripada kebimbangan kehilangan kerja kepada ketidakselesaan melakukan perubahan, ramai kakitangan tertanya-tanya tentang peranan mereka di dalam organisasi.

Semua kakitangan perlu main peranan

Hakikatnya kakitangan yang bermotivasi amat penting kepada kejayaan organisasi pada zaman digital ini.

Majikan perlu membina semula kepercayaan, membuka saluran komunikasi baharu dan menubuhkan jaringan demi membina hubungan kerja yang diperlukan untuk menjalin kerjasama.

Untuk berbuat demikian, majikan mesti merangka strategi dan alat khusus demi menjamin kejayaan libat urus kakitangan.

Menetapkan matlamat bagi kakitangan

Untuk memastikan kakitangan memainkan peranan aktif dalam proses transformasi, mereka perlu tahu apa yang dikehendaki daripada mereka.

Penetapan matlamat khusus boleh membantu. Sebaik-baiknya jadikan proses ini satu usaha sama supaya kakitangan ada peranan dalam menetapkan jangkaan prestasi yang adil, relevan dan mencabar.

Pertingkatkan kemahiran sekiranya perlu

Kakitangan hendaklah diberi dorongan sepanjang transformasi digital dilaksanakan dengan mempertingkatkan kemahiran bagi membolehkan mereka rasa yakin dengan kaedah perniagaan baharu.

Latihan perisian atau teknologi baharu memang menjadi keperluan, tetapi beri juga mereka peluang untuk menjalani latihan penambahbaikan berasaskan set kemahiran yang perlu untuk melalui proses peralihan ini.

Latihan yang diberikan menunjukkan anda prihatin terhadap kemajuan dan kejayaan kakitangan dan sanggup melabur dalam perkembangan kerjaya mereka.

Berkomunikasi secara konsisten dan galakkan perkembangan

Perubahan amat sukar dilakukan di mana-mana organisasi.

Berhubunglah dengan kakitangan dari peringkat awal, untuk membolehkan mereka memainkan peranan dalam proses tersebut.

Manfaatkan peluang ini untuk mencetus minat dalam diri mereka untuk berkembang maju, menggalakkan mereka untuk bersikap terbuka kepada peluang-peluang baharu dan menerima kegagalan dengan hati terbuka.

Anda perlu terus berhubung dengan pasukan anda dari mula hingga akhir.

Tiba di Destinasi!

Dalam persekitaran kerja hari ini, majikan perlu membina platform yang kukuh untuk kakitangan berhubung dengan satu sama lain.

Platform ini seharusnya mudah digunakan, menyeronokkan dan penuh bertenaga, supaya kakitangan boleh berbincang dan berhubung walaupun semasa bekerja dari jauh.

Pada 2018, kami mencipta Feet’s, iaitu aplikasi berasaskan langganan yang berfungsi meningkatkan maklum balas positif di dalam syarikat, sama ada dalam kalangan rakan sekerja, atau antara pengurusan dengan kakitangan untuk mengeratkan hubungan.

Matlamatnya ialah untuk memupuk budaya kerjasama dan menjadi wadah untuk kakitangan mendapat pengiktirafan kerana kerja keras dan menerima ganjaran atas usahanya.

Feet’s pada mulanya dicipta sebagai sebuah projek dalaman untuk mendorong pasukan RAMSSOL Group, tetapi menyedari betapa pentingnya libat urus kakitangan di Malaysia, kami mendapat ilham untuk memasarkannya di pasaran tempatan kita.

Pada hari ini, aplikasi tersebut telah diperluas dan digunakan oleh pelbagai organisasi di Asia Tenggara, sekali gus menekankan lagi kepentingan proses libat urus kakitangan.

* Cllement Tan ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif RAMSSOL Group, sebuah syarikat teknologi diasaskan di Malaysia yang memberi tumpuan menawarkan penyelesaian inovatif dalam bidang pengurusan modal insan, dengan matlamat Memajukan Insan Menerusi Teknologi