Ah long diberkas, 626 dokumen pinjaman wang ditemui

Shahrul Lalli menunjukkan kad bank dan dokumen pinjaman wang pada sidang akhbar di IPK Melaka di Bukit Beruang hari ini.
Shahrul Lalli menunjukkan kad bank dan dokumen pinjaman wang pada sidang akhbar di IPK Melaka di Bukit Beruang hari ini.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka menemui 626 dokumen pinjaman wang membabitkan lebih RM300,000 selepas memberkas seorang lelaki disyaki ah long di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana di sini Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 9 pagi itu, lelaki berusia 40-an ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Alor Gajah.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Lalli Masduki, berkata, hasil serbuan turut menemui wang tunai berjumlah RM15,000, lima buah telefon bimbit pelbagai jenis, sembilan kad bank, 52 buku akaun bank pelbagai jenis, 51 keping kad pinjaman wang dan sebuah kereta Perodua Bezza.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek telah menjalankan aktiviti pinjaman wang sejak empat tahun lalu sehingga sekarang dengan mengenakan faedah bulanan sebanyak 6 peratus hingga 11 peratus.

Shahrul Lalli menunjukkan kad bank dan dokumen pinjaman wang pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.
Shahrul Lalli menunjukkan kad bank dan dokumen pinjaman wang pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

"Hasil siasatan bahawa lelaki ini telah memberikan pinjaman antara RM500 hingga RM5,000 dan aktiviti suspek yang ditahan reman sehingga 20 Disember ini tertumpu di kawasan Alor Gajah, Melaka dan Jasin.

"Difahamkan mereka yang membuat pinjaman ini merupakan ibu tunggal, suri rumah yang membuat perniagaan kecil-kecilan dan mereka tidak layak membuat pinjaman," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tangkapan itu merupakan kejayaan Polis Melaka ke-34 melibatkan 43 tangkapan bagi tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah itu 33 kertas siasatan telah dibuka di mana 30 dalam siasatan, dan tiga kes telah dituduh manakala 43 orang telah ditangkap.

Wang tunai, kad bank, buku bank dan pelbagai jenis telefon bimbit yang dirampas dalam serbuan Ahad lalu.
Wang tunai, kad bank, buku bank dan pelbagai jenis telefon bimbit yang dirampas dalam serbuan Ahad lalu.

"Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1juta atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kita berharap dan menasihatkan orang awam tidak terlibat dengan pinjaman wang tidak berlesen yang ada di antara ugutan ah long, bukan sahaja menyembur cat malah memberikan pelbagai ugutan lain kepada peminjam," katanya.