Lelaki didakwa bakar studio animasi Kyoto

Kyoto Animation dibakar mengakibatkan 36 terkorban. - Foto Reuters
Kyoto Animation dibakar mengakibatkan 36 terkorban. - Foto Reuters
A
A
A

TOKYO – Pendakwa raya Jepun semalam mendakwa seorang lelaki dengan pertuduhan serangan mengakibatkan kebakaran ke atas studio animasi Kyoto Animation yang mengorbankan 36 orang pada tahun lalu.

The New York Times melaporkan Shinji Aoba, 42, ditahan selepas melakukan serangan pada bulan Julai 2019.

Suspek yang nyaris maut turut mengalami kecederaan serius akibat melecur dimasukkan ke hospital dan hanya sedarkan diri sebulan kemudian.

Menurut kenyataan pejabat pendakwa raya Kyoto, pertuduhan membabitkan lima jenayah termasuk bunuh, cubaan membunuh dan pembakaran.

Aoba yang mempunyai sejarah penyakit mental itu ditangkap pada bulan Mei setelah dia pulih dan pendakwa juga menunggu sehingga dia menjalani penilaian psikologi, lapor media tempatan.

Dalam serangan itu, lebih 30 individu lain dilaporkan cedera, Aoba dituduh memecah masuk ke dalam bangunan studio sebelum menuang minyak petrol di tingkat bawah dan membakarnya.

Menurut laporan polis, Aoba dilaporkan mengaku melakukan kebakaran itu dan menjerit ‘mati’ sebelum mula membakar.

Suspek mendakwa bahawa studio berkenaan mencuri hasil karyanya, namun perkara itu dinafikan oleh Kyoto Animation.

Artikel Berkaitan:

Kyoto Animation, amat dikenali oleh peminat sebagai KyoAni, didirikan oleh Yoko Hatta dan suaminya, Hideaki Hatta pada tahun 1981.

Sempena setahun serangan insiden kebakaran pada Julai, Presiden Kyoto Animation, Mr Hatta mengatakan syarikat itu beransur pulih dan berharap terus menghasilkan karya baharu.

Pada September, studio ini melancarkan filem pertamanya selepas serangan itu bertajuk 'Violet Evergarden: The Movie'.