Penghantar makanan didakwa bakar motosikal, skuter depan KLCC

Laporan Sinar Harian pada 13 April lalu.
Laporan Sinar Harian pada 13 April lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan membakar 11 buah motosikal dan empat skuter elektrik di hadapan Suria KLCC, minggu lalu.

Azril Kamarunzaman, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api iaitu dengan cara membakar kenderaan tersebut di parkir motosikal, hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang di sini, pada jam 3.30 petang, 13 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Amalina Abu Hanifah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM12,000.

Bagaimanapun, peguam, Muhamad Ridzuan Umar merayu agar ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nu'aman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 13 April lalu, sebanyak 13 buah motosikal dan empat skuter elektrik terbakar di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC di sini.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).