Baghdad mungkin 'berdarah' semula

Baghdad dibimbangi akan kembali sebagai ibu kota Iraq yang menjadi tempat serangan bom sama seperti pada tahun 2007. - Foto AFP
Baghdad dibimbangi akan kembali sebagai ibu kota Iraq yang menjadi tempat serangan bom sama seperti pada tahun 2007. - Foto AFP
A
A
A

SATU siri serangan ke atas kedai-kedai yang menjual arak di Iraq dibimbangi akan menyebabkan ibu kota negara itu, Baghdad kembali semula menjadi tempat pertumpahan darah seperti tahun 2007.

Ketika itu, Baghdad dianggap sebagai bandar raya paling berbahaya di dunia apabila bom-bom tepi jalan meletup hampir setiap hari selepas tentera Amerika Syarikat (AS) menceroboh Iraq bagi menggulingkan Presiden Iraq, Saddam Hussein pada tahun 2003 dan mendakwa negara tersebut menyimpan senjata pemusnah besar-besaran.

Pertempuran antara tentera AS dan tentera asing bersama askar-askar kerajaan dengan beberapa kumpulan Islam termasuk yang mendapat sokongan dari Iran berlaku sehingga melibatkan angka korban yang besar.

Tentera AS kemudian berjaya menewaskan kumpulan Negara Islam (IS) di Iraq pada tahun 2017.

Gambar fail menunjukkan askar-askar Amerika Syarikat di Kirkuk, Iraq. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan askar-askar Amerika Syarikat di Kirkuk, Iraq. - Foto AFP

Pada tahun 2014 Washington berjaya mengawal sebahagian besar wilayah di negara tersebut dengan kekuatan tentera mencecah kira-kira 130,000 orang.

Selain AS, beberapa negara lain seperti British, Poland dan Australia turut membawa masuk anggota tentera mereka menyebabkan angka keseluruhan anggota tentera melebihi 177,000 orang.

Bagaimanapun, senjata pemusnah besar-besaran seperti dakwaan AS itu masih tidak dijumpai sehingga kini walaupun Saddam berjaya ditangkap dan dihukum mati kerana melakukan jenayah menentang kemanusiaan pada tahun 2006.

Artikel Berkaitan:

Semasa pemerintahan Barack Obama sebagai Presiden, kesemua tentera AS ditarik keluar dari Iraq pada tahun 2011 selepas gagal dalam rundingan dengan pemerintah negara berkenaan untuk melanjutkan tempoh kehadiran askar-askarnya.

Namun, pada tahun 2014, AS diminta datang ke Iraq oleh pemerintah negara tersebut bagi memerangi kumpulan IS yang telah menguasai beberapa buah bandar selain menyerang kilang penapis minyak di Iraq.

Selepas IS berjaya ditumpaskan pada tahun 2017, Presiden AS, Donald Trump bertindak mengurangkan bilangan tenteranya dan ia dijangka meningkatkan pengaruh Iran sekali gus menyebabkan kemunculan semula kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) di negara berkenaan.

Kini negara tersebut yang ditadbir oleh Presiden Barham Salih dan Perdana Menterinya, Mustafa al-Kadhimi berdepan dengan satu siri serangan letupan bom kedai-kedai arak di Baghdad.

Kira-kira dua bulan lalu, sebanyak 14 buah kedai arak diserang dengan bom di ibu kota tersebut sama ada pada waktu malam atau sebelum subuh.

Sebanyak 91 buah premis arak tidak berlesen dan kelab malam telah ditutup kira-kira dua bulan lalu, menurut agensi perisikan Iraq.

Kebanyakan kedai arak di Baghdad dikendalikan oleh penduduk Kristian atau golongan minoriti Yazidi yang diberikan lesen untuk menjual minuman keras tersebut di Iraq yang majoritinya terdiri daripada penduduk Islam.

Menurut AFP, serangan bom di sebuah kedai menjual alkohol di Baghdad dilakukan beberapa minggu lalu oleh dua individu menunggang motosikal sebelum subuh seperti dakwaan pemilik premis berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Andre.

Selama bertahun-tahun, pemilik kedai-kedai menjual arak membayar duit perlindungan kepada kumpulan-kumpulan Islam bersenjata.

Dua lelaki melihat beberapa buah kenderaan terlibat dalam kejadian letupan bom kereta di Baghdad pada tahun 2014. - Foto AFP
Dua lelaki melihat beberapa buah kenderaan terlibat dalam kejadian letupan bom kereta di Baghdad pada tahun 2014. - Foto AFP

Andre mendakwa pasukan keselamatan Iraq turut terlibat apabila meminta ribuan dolar sebulan bagi melindungi sebuah kedai.

Menurut AFP, sebahagian pemilik kedai arak bukan beragama Islam beroperasi tanpa lesen dan tidak menjadi sasaran serangan bom.

Menurut portal berita Arab Weekly pada 28 November lalu, satu siri serangan itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Iran.

Sumber-sumber polis tempatan memberitahu portal tersebut bahawa pemberi maklumat menyatakan hasrat kumpulan militia untuk menyerang kedai-kedai besar yang menjual minuman keras di Baghdad dengan menggunakan bom untuk menakut-nakutkan pemilik premis perniagaan itu.

Ia juga bertujuan untuk menutup perniagaan mereka sama seperti yang pernah dilakukan oleh ISIS pada tahun 2014 terhadap penduduk Islam yang menghisap rokok dan dikenakan hukuman penalti ke atas sesiapa yang melanggar fatwa kumpulan berkenaan.

Sejak beberapa minggu lalu, sejumlah kumpulan Islam telah menyuarakan penentangan mereka ke atas kedai-kedai menjual arak yang dianggap melanggar fatwa meminum minuman keras dan lain-lain perbuatan maksiat.

Kumpulan Rab'Allah sebelum ini mengaku bertanggungjawab menyerbu sebuah rumah urut di Baghdad manakala sebuah kelab malam bawah tanah didakwa dibom oleh kumpulan Ahli al-Qura baru-baru ini yang mana kedua-duanya telah mengaku melancarkan serangan roket ke aras Kedutaan AS di Baghdad, menyerang sebuah stesen televisyen disebabkan menyiarkan muzik rancak ketika cuti keagamaan serta membakar pejabat sebuah parti Kurdistan.

Menurut Arab Weekly, kumpulan Rab'Allah adalah contoh kumpulan bersenjata Iran yang terlepas daripada hukuman selepas melaksanakan serbuan di sebuah rumah urut di Baghdad baru-baru ini. - Agensi